Kes Najib: Hormati Keputusan Hakim, Tangani Isu Dengan Bijaksana - PM

LocalPolitics
23 Dec 2025 • 12:51 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan kehakiman perlu dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. 

Atas dasar itu katanya, beliau menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim pada prosiding melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

“Saya ingin merujuk kepada penghakiman berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam. 

“Atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar fail

Jelas Perdana Menteri, isu berkenaan perlu ditangani semua pihak dengan penuh sabar dan bijaksana. 

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” katanya.

Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.

Penolakan itu bermakna beliau perlu meneruskan hukuman penjara di Penjara Kajang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching memutuskan, perintah tambahan yang sebelum ini dikatakan dikeluarkan mantan Yang di-Pertuan Agong bagi membenarkan Najib menjalani tahanan rumah adalah tidak sah.

Beliau berkata, perintah tambahan itu juga tidak mempunyai kesan perundangan dan oleh itu, tidak boleh dilaksanakan.

Keputusan tersebut bermakna Najib diwajibkan untuk melengkapkan baki tempoh hukuman di penjara, selaras dengan prinsip penguatkuasaan hukuman pemenjaraan yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Penghakiman itu turut menekankan batasan undang-undang terhadap sebarang arahan diraja yang bertujuan mengubah syarat atau bentuk pelaksanaan hukuman penjara, khususnya apabila arahan sedemikian tidak disokong oleh peruntukan undang-undang yang jelas dan sah.

Permohonan Najib untuk menjalani tahanan rumah sebelum ini telah menarik perhatian ramai, memandangkan kedudukannya sebagai bekas perdana menteri serta implikasi politik dan simbolik yang signifikan sekiranya permohonan tersebut dibenarkan. - Getaran, 23 Disember 2025