
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa susulan keputusan mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam (22 Dis).
Anwar menerusi satu kenyataan menegaskan badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar.
“Saya ingin merujuk kepada penghakiman berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam. Ingin ditegaskan bahawa Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim.”
Tambah Anwar lagi, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Hakim, termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.
Tangani isu dengan sabar, tidak wajar keruhkan suasana
Dalam pada itu beliau terut menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.
“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini.”
Terdahulu pada Isnin (22 Dis) Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan untuk menolak permohonan Najib yang meminta kerajaan melaksanakan Titah Adendum baginya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah (house arrest) sehingga dibebaskan sepenuhnya.
Menurut Hakim, Alice Loke Yee Chin isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Keputusan ini bermakna Najib akan terus menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tempoh hukuman tamat iaitu pada Ogos 2028.
