Kes Pelajar Maut Ditikam: Ibu Mangsa Dedah 200 Kesan Tikaman Ditemui Pada Tubuh Anak

17 Oct 2025 • 10:29 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Insiden tragis yang melanda seorang pelajar perempuan tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya yang maut ditikam oleh seorang pelajar lelaki tingkatan dua masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.

Manakan tidak, kebanyakan pengguna media sosial yang mengikuti perkembangan kes itu menyifatkannya amat kejam apatah lagi ia berlaku dalam kawasan sekolah.

Malah pada Rabu (15 Oktober) lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mendedahkan tikaman pada dada dan leher dikenal pasti menjadi punca kematian pelajar perempuan terbabit.

Keputusan itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang selesai kira-kira jam 10.30 malam.

Ibu Mangsa Dedah 200 Tikaman Ditemui Pada Badan Mangsa

Terbaharu, ibu kepada pelajar yang maut ditikam, Wong Lee Ping mendedahkan terdapat kira-kira 200 kesan tikaman ditemui pada tubuh mangsa.

Dia mendedahkan perkara itu berdasarkan hasil laporan bedah siasat yang dijalankan oleh pihak patologi PPUM.

“Laporan yang tular di media sosial mengenai kejadian itu banyak yang tidak benar dan mengguris hati keluarga.

“Saya dapat tahu daripada pihak patologi bahawa anak saya ditikam 200 kali. Ada luka besar dan kecil di bahagian kanan badan, termasuk leher dan paru-paru,” jelasnya.

Suspek Lompat Dari Bahagian Atas Tandas Sebelum Tikam Mangsa

Jelas Wong lagi, hasil siasatan polis mendapati suspek berusia 14 tahun itu melompat dari bahagian atas tandas sebelum menikam mangsa yang pada waktu itu berada dalam bilik tandas yang berkunci.

“Anak saya menjerit meminta tolong, tetapi pintu tandas terkunci. Bila cikgu pecahkan pintu, anak saya sudah tiada,” kongsinya lagi.

Nafi Dakwaan Anak Dirogol & Kenal Suspek

Malah, dia turut menafikan kenyataan yang mendakwa anaknya dirogol dan mengenali suspek.

Pada masa yang sama, dia memohon agar orang ramai untuk tidak menularkan berita yang belum disahkan sahih di media sosial.

“Anak saya telah menjadi mangsa dan saya harap orang ramai hentikan berkongsi berita yang tidak benar di media sosial, anak saya tidak pernah berjumpa dan berhubung dengan suspek,” terangnya.

Dedah Ada Scammer Ambil Kesempatan Ubah Kod QR Derma

Wong turut berharap agar kejadian yang menimpa anaknya tidak akan berulang di mana-mana sekolah pada masa hadapan.

Malah, dia menyeru kepada individu yang bersimpati dengan kejadian berkenaan dan mahu menderma untuk hadir ke Nirvana Center, Kuala Lumpur.

Ini selepas media melaporkan terdapat cubaan scam oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang telah mengubah QR pada poster jemputan penghormatan terakhir sebagai cubaan mengalihkan sumbangan ke akaun bank scammer.

Mangsa Merupakan Anak Yang Aktif Bersukan & Berdisiplin

Sewaktu ditanya tentang keperibadian anaknya, Wong mendedahkan mendiang yang merupakan anak bongsu seorang yang aktif bersukan dan amat berdisiplin.

Jelas Wong, anak perempuannya itu aktif dalam sukan bola tampar dan badminton malah dua hari sebelum kejadian, mendiang telah mendapat tempat kedua dalam kejohanan badminton yang diadakan di ibu kota.

Untuk info, suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula 15 Oktober dan kes kini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Malah, pihak polis sebelum ini turut menemui dua senjata iaitu pisau dan kerambit yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan.

Namun, menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, pihaknya masih belum dapat mengesahkan senjata yang digunakan suspek sehingga kini.

Source: