Kes Pelajar Tahun 4 Meninggal Dunia Di Sekolah Di Senawang, Ini Yang Diketahui Setakat Ini

2 Oct 2025 • 4:19 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Semalam (1 Oktober) media melaporkan mengenai pelajar tahun empat yang dijumpai meninggal dunia di sebuah sekolah di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan pada jam 1 tengah hari.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad polis menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 1.19 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Pelajar tinggalkan kelas sebelum ditemui tak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia

Mengikut maklumat awal, pelajar berkenaan telah meninggalkan kelas pada jam 12.10 tengah hari sebelum ditemui tak sedarkan diri di kawasan sekolah berkenaan.

Pelajar berkenaan kemudiannya dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan disahkan meninggal dunia.

Fadhlina Sidek beri ruang pada polis lakukan siasatan

Ekoran daripada insiden itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memaklumkan pihaknya memberi ruang kepada pihak polis dalam melakukan siasatan serta memberi tumpuan penuh kepada emosi murid dan guru di sekolah tersebut, lapor Harian Metro.

“Sementara kita menunggu siasatan penuh kita akan memberi tumpuan penuh kepada proses psikososial dan sokongan emosi kepada pelajar dan guru di sekolah.

“Jadi mulai esok intervensi ini akan dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua kaunselor kita di peringkat Negeri Sembilan untuk turun dan lihat.

“Kita juga mendapat sokongan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), khususnya Pusat Kesihatan Mental untuk memberikan tumpuan kepada intervensi ini yang akan dilaksanakan secara berterusan,” ujarnya, lapor Harian Metro.

Jelas beliau Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut mengucapkan takziah serta berasa sedih atas insiden yang berlaku dan memberikan sepenuh sokongan kepada keluarga yang ketika ini dari sudut emosi serta psikososial.

Polis klasifikasikan kes babitkan pelajar tahun 4 di bawah Seksyen 507C

Hari ini (2 Oktober) polis mengklasifikasikan kes kematian membabitkan pelajar berkenaan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan iaitu buli melalui komunikasi.

Jelas Alzafny kanak-kanak tersebut ditemui tak sedarkan diri dalam sebuah tandas sekolah itu sebelum dihantar ke sebuah klinik swasta.

“Kira-kira jam 1.19 tengah hari semalam, pihak polis menerima maklumat berkaitan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ketika menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

“Mangsa dihantar guru disiplin untuk menerima rawatan di klinik terbabit, namun doktor yang merawat mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” ujarnya, dalam satu lagi laporan Harian Metro.

Jelas beliau pada peringkat ini kes tersebut diklasifikasikan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan serta prosedur bedah siasat juga bakal dilakukan hari ini untuk menentukan punca kematian.

Beliau dalam masa sama turut meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai kes tersebut.

Seksyen 507 Kanun Keseksaan berkaitan dengan ugutan menerusi perantaraan komunikasi. Pindaan terkini turut memperkenalkan seksyen baharu seperti 507B hingga 507G, yang turut merangkumi kesalahan berkaitan buli serta gangguan, ia termasuk ugutan menerusi komunikasi, gangguan emosi dan doxing.

Proses bedah siasat dilakukan di Hospital Rembau

Menurut Sinar Harian setakat jam 12 tengah hari ini (2 Oktober) proses bedah siasat ke atas murid lelaki itu belum dijalankan.

Keluarga mangsa tiba di Hospital Rembau pada jam 12.55 tengah hari untuk menunggu laporan bedah siasat selesai dilakukan.

Turut dilihat ibu kepada pelajar lelaki itu ditenangkan oleh ahli keluarga sebelum masuk ke unit forensik.

Turut difahamkan siasatan di tempat kejadian juga masih diteruskan sebelum proses bedah siasat dapat dimulakan.

Keadaan di sekolah juga didapati dikawal ketat dengan laluan keluar masuk dipantau rapi.

Source: