
KUALA LUMPUR - Tanda-tanya berhubung pembunuhan tiga beranak di Kuala Muda, Kedah yang mayat mereka ditemui tengah malam tadi dipercayai hampir terjawab, susulan siasatan awal pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal polis mendapati suspek kejadian dipercayai sudah meninggal dunia.
Menurut beliau, lima saksi telah dipanggil setakat ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Polis dimaklumkan mengenai penemuan tiga mayat itu pada 12.30 tengah malam tadi oleh orang ramai.
“Mereka turut memberitahu, ketiga-tiga individu yang menghuni rumah terbabit tidak ditemui selama tiga hari,” katanya.
Getaran difahamkan, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Zikri Abdul Rahman, 65, isterinya Suraya Man, 53, dan anak kepada wanita terbabit, Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29.
Shakir ialah anak hasil perkahwinan Suraya yang terdahulu.
Hanyan berkata, Zikri dan Suraya difahamkan telah mendirikan rumah tangga sejak beberapa tahun lalu.
“Sewaktu polis memecah masuk, rumah berkenaan berada dalam keadaan gelap, dan mayat suami isteri itu ditemui dengan keadaan kepala mereka telah dipenggal.
“Kepala mereka dibungkus dengan kain dan diletakkan di sisi mayat, manakala terdapat beberapa anggota badan mayat wanita itu yang turut dipotong,” katanya.
Jelas beliau, mayat Shakir pula ditemui dalam keadaan terbaring di tingkat atas rumah dan berlumuran darah, dengan kesan kelar di bahagian leher.
“Polis juga menemui pelbagai senjata tauam yang dikumpulkan dalam sebuah bekas.
“Turut dijumpai ialah percikan darah di kawasan ruang tamu rumah dan tanda percubaan untuk melupuskan mayat kerana kesan di ruangan itu telah dibersihkan.
"Kejadian dipercayai berlaku antara 8 malam Isnin lepas,” katanya.
Difahamkan, Shakir pernah mengalami gangguan mental pada 2018 hingga 2019, namun tidak pernah mendatangkan gangguan kepada penduduk sekitar. - Getaran, 26 Mac 2026


