amree06/08/2026 - 12:20 Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos — Penahanan seorang juruterbang Malaysia Airlines di Jakarta, Indonesia kerana disyaki terbabit kes penyeludupan dadah mencetuskan persoalan isu keselamatan di lapangan terbang.
Bagaimanapun, bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Kapten Mohd Kamil Abu Bakar tampil menegaskan sistem keselamatan sedia ada sebenarnya kukuh dan bukan punca utama insiden sedemikian.
Ujarnya, kelemahan bukan terletak pada sistem, prosedur atau peralatan, sebaliknya bergantung sejauh mana petugas mematuhi prosedur operasi yang ditetapkan ketika melaksanakan pemeriksaan.
"Sepanjang 42 tahun berkhidmat sebagai juruterbang, saya yakin sistem keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan seluruh dunia memenuhi piawaian cukup ketat," tambahnya.
Kata Mohd Kamil, kru penerbangan tidak pernah dikecualikan pemeriksaan keselamatan walaupun mereka mungkin perlu menggunakan laluan khas bagi memastikan dapat menaiki pesawat mengikut jadualnya.
Jelas beliau dalam satu kenyataan, mereka tetap menjalani proses pemeriksaan keselamatan yang sama seperti penumpang lain dengan tiada isu pengecualian diberikan kepada mana-mana kru penerbangan.

Beliau turut berkongsi pengalaman pernah ditahan selama tempoh beberapa jam di Lapangan Terbang Los Angeles, Amerika Syarikat hanya menjalani pemeriksaan tambahan disebabkan nama Muslim dirinya.
"Saya juga diperiksa kastam di Johannesburg, Afrika Selatan selepas seekor anjing pengesan dadah mengesan bau pisang rastali di dalam bagasi yang dibawa," ujar Mohd Kamil mengimbau kisah lucu itu.
Pengalaman tersebut tambahnya, membuktikan bukan mudah untuk mana-mana individu, termasuklah kru penerbangan, dapat melepasi pemeriksaan sekiranya membawa barangan yang menyalahi undang-undang.
Mengulas dakwaan juruterbang terbabit mengendalikan penerbangan penumpang ketika berada di bawah pengaruh dadah, beliau menjelaskan individu itu sebenarnya tidak menerbangkan pesawat berkenaan.
Sebaliknya, penentuan seseorang berada di bawah pengaruh dadah dibuat pegawai bertauliah menerusi kaedah dan peralatan ujian yang sah, selain melalui beberapa pemeriksaan sebelum menaiki pesawat.
"Saya namun bersetuju syarikat penerbangan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memperkukuh saringan psikologi dan penilaian mental dalam pengambilan juruterbang," katanya.
Usaha tambahan itu ujar Mohd Kamil, bagi memastikan hanya calon benar-benar berkelayakan dari segi akademik, sahsiah dan kesihatan diberi tanggungjawab mengendalikan pesawat. - DagangNews.com





