Kes Pergaduhan Pelajar Di Telok Panglima Garang Diselesai Secara Baik

17 Oct 2025 • 10:34 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Polis mengesahkan satu kejadian pergaduhan membabitkan pelajar sekolah di Telok Panglima Garang, Kuala Langat yang tular di media sosial baru-baru ini telah diselesaikan secara baik tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.

Kes pergaduhan pelajar di Telok Panglima Garang

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya mengesan satu rakaman video tular memaparkan kejadian berkenaan pada kira-kira jam 8.30 pagi Khamis.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat telah hadir ke sekolah terlibat sekitar jam 10 pagi hari yang sama bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

image is not available

Foto arkib: NSTP

Menurut beliau, hasil semakan mendapati tiada pelajar yang mengalami kecederaan atau mendapatkan rawatan di hospital susulan pergaduhan tersebut.

“Kes ini telah diselesaikan secara berhemah selepas satu perbincangan tiga hala diadakan antara pihak sekolah, ibu bapa atau waris pelajar yang terlibat, serta pihak polis. Semua pihak bersetuju untuk tidak mengambil tindakan lanjut,” jelasnya.

image is not available

Foto: Media sosial

Dalam pada itu, Mohd Akmalrizal turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video atau maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu kerana boleh menimbulkan kekeliruan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

“Penyebaran berita palsu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” tegas beliau.

Sumber: Facebook Polis Daerah Kuala Langat