Kes premis pajak gadai rugi RM28.4 juta: Pengurus, dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah

18 Nov 2026 • 3:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes premis pajak gadai rugi RM28.4 juta: Pengurus, dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Image from: Kes premis pajak gadai rugi RM28.4 juta: Pengurus, dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah
Tiga termasuk pengurus wanita didakwa mendalangi kes pecah masuk premis pajak gadai hingga rugi RM28.4 juta.

KOTA TINGGI - Seorang pengurus wanita sebuah premis pajak gadai bersama dua pengawal keselamatan dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan bersubahat dan pecah masuk premis berkenaan, awal bulan ini.

Tertuduh, Nor Zeelyza Mohd Mohely, 41; Norzai Asman Ahmad Saru, 39; dan Nasaruddin Mahabod, 41, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Hafizah Abdul Rajak.

Mengikut pertuduhan, Nor Zeelyza didakwa bersubahat dengan Norzai Asman dan Nasaruddin dengan melakukan pecah rumah sebuah kedai emas milik syarikat Ar-Rahnu Koperasi Perbadanan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) cawangan Kota Tinggi di Jalan Tun Sri Lanang, di sini dengan niat mencuri barang kemas dan wang tunai premis berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah warung di Jalan Abdullah, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 5 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Manakala, Norzai Asman dan Nasaruddin pula didakwa melakukan pecah masuk premis sama dengan niat mencuri barang kemas dan wang tunai milik premis berkenaan, kira-kira jam 1.20 pagi, 6 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norafiqah Musa menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 kepada setiap tertuduh dengan dua orang penjamin.

“Kes ini mendapat perhatian umum selain tular di laman sosial dan mendapat liputan luas media kerana membabitkan kerugian sebanyak RM28.4 juta,” katanya.

**media[3714554]**

Peguam Nor Zeelyza bagaimanapun memohon jaminan yang rendah terhadap anak guamnya itu memandangkan itu adalah pertuduhan pertama dihadapinya.

“Setakat hari ini bekerja sebagai pengurus di syarikat yang sama dengan pendapatan sekitar RM4,000 sebulan.

“Beliau juga dijangka akan berdepan beberapa lagi pertuduhan lain berhubung kes sama dalam masa terdekat,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Nor Zeelyza diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin manakala dua lagi tertuduh sebanyak RM12,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Kesemua tertuduh juga diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Nor Zeelyza diwakili peguam Muhammad Zahier dan Noorain Tupani, Norzai diwakili Izaac Izzudeen Mohd Izhar manakala Nasaruddin juga diwakili Noorain.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember depan bagi tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad pada sidang akhbar 10 November lalu memaklumkan, kes pecah masuk premis pajak gadai itu dipercayai dirancang bagi menghapuskan bukti kegiatan pecah amanah yang membabitkan pemajakan barang kemas palsu sejak empat hingga lima tahun lalu.

Beliau berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.42 pagi, 6 November lalu sebelum menahan tujuh individu berusia antara 29 hingga 48 tahun di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Hasil tangkapan itu, polis merampas 2,891 barang kemas pelbagai jenis, wang tunai RM27,371, dua resit pajak gadai, dua rangkaian kunci, dua beg silang serta sebuah telefon bimbit.

Siasatan awal mendapati barang kemas berkenaan dipercayai dipajak menggunakan identiti pemajak yang diragui bagi mendapatkan wang syarikat, manakala kejadian pecah masuk dipercayai dilakukan untuk menghapuskan bukti kegiatan berkenaan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved