KES pukul membabitkan anggota tentera tidak lagi boleh dipandang ringan atau dianggap sebagai insiden terpencil yang berlaku sekali-sekala.
Perkara itu susulan laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai seorang anggota tentera yang kini koma selepas dipercayai menjadi mangsa pukul dalam satu kejadian di kem.
Difahamkan, insiden itu berpunca daripada rasa tidak puas hati berkaitan tugasan pembersihan stor senjata di Kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pahang pada Isnin lalu.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat memaklumkan, siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk tujuh anggota lain di bahagian muka dan perut.
Kejadian itu bukan yang pertama seumpamanya berlaku sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai budaya dalaman yang membenarkan perlakuan melampau.
Apabila disebut sahaja askar atau pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), masyarakat pasti membayangkan pasukan yang berdisiplin tinggi serta mengamalkan semangat setiakawan yang tinggi.
Namun, insiden sebegini memberi pandangan negatif terhadap institusi tersebut, terutamanya dalam kalangan golongan muda yang sepatutnya berminat dan bersemangat untuk menyertai kerjaya ketenteraan.
Daripada mahu berbakti kepada negara melalui ATM, golongan belia kini mungkin terhalang oleh rasa khuatir dan takut terhadap risiko buli atau penderaan, sekali gus mengurangkan minat mereka.
Oleh itu, jika tidak ditangani dengan tegas, insiden seperti ini berisiko menimbulkan persepsi umum bahawa persekitaran tentera tidak selamat, sedangkan majoriti anggota menjalankan tugas dengan penuh profesionalisme.
Tindakan tegas dan konsisten perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah, termasuk membawa kes ke muka pengadilan sekiranya melibatkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa.
Langkah ini penting bagi mewujudkan elemen pencegahan berkesan, selain menghantar mesej jelas bahawa sebarang bentuk penderaan tidak akan ditoleransi.
Pada masa sama, sistem pemantauan dalaman perlu diperkukuh dengan menyediakan saluran aduan yang selamat, telus dan efektif, sambil menjamin perlindungan kepada pemberi maklumat daripada sebarang tindakan balas.
Tanpa pembaharuan menyeluruh dari segi budaya kerja, penguatkuasaan dan kepimpinan, bukan sahaja keselamatan anggota terus terancam, malah maruah serta kredibiliti institusi pertahanan negara berisiko tercalar.
