'Muhammad Amirul sangat kritikal, berlaku kematian tisu otak' - Bekas komando tuntut keadilan buat anak

LocalPolitics
2 Apr 2026 • 4:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Amirul Raziq, 24 yang kini kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa pukul di sebuah kem tentera di Bentong

TEMERLOH - Keluarga kepada anggota tentera, Muhammad Amirul Raziq, 24 yang kini kritikal selepas dipercayai menjadi mangsa pukul di sebuah kem tentera di Bentong berharap agar keadilan ditegakkan atas kejadian menimpa anak sulungnya itu.

Bapa mangsa, Rosafindi Tambi Chik, 49 mendakwa, kekasaran itu bukan prosedur tentera, tetapi lebih kepada buli yang dilakukan individu dengan sengaja.

Katanya, anaknya itu sudah berkhidmat dalam tentera selama tiga tahun dan tidak pernah mempunyai masalah serius sebelum ini.

"Kini dia kritikal dan kami sekeluarga amat sedih serta kecewa atas kejadian berlaku.

"Doktor beritahu otak anak saya gagal menerima oksigen dan berlaku kematian tisu otak. Keadaannya sangat kritikal," kata bekas anggota tentera ini ketika ditemui pemberita di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada Khamis.

Rosafindi yang pernah berkhidmat sebagai anggota komando selama 26 tahun berkata, latihan ketenteraan tidak mengajar anggota memukul atau mencederakan rakan sendiri.

Katanya, latihan hanya untuk menguji mental dan ketahanan anggota bukan pukul sepak hingga cedera.

"Kejadian ini diketahui selepas dihubungi pegawai pemerintah kira-kira jam 10.40 malam, Ahad lalu memberitahu anak saya, Muhammad Amirul Raziq pengsan dan telah dibawa ke Hospital Bentong dalam keadaan kritikal.

"Selepas menerima khabar itu, saya segera bergerak dari rumah di Gemas, Negeri Sembilan ke Hospital Bentong dan sampai kira-kira jam 2 pagi," katanya.

Katanya, pihak hospital memaklumkan keadaan anak saya kritikal apabila jantungnya sudah berhenti.

"Bagaimanapun jantungnya kembali berdenyut selepas prosedur pertolongan kecemasan (CPR) dilakukan selama sejam.

"Mangsa dipindahkan ke HoSHAS kira-kira jam 5 pagi bagi mendapatkan rawatan lanjut kerana memerlukan pemantauan pakar," katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada hari raya kedua baru-baru ini.

"Semasa balik bercuti raya baru-baru ini, dia ada mengadu terlalu letih ketika menjalani latihan.

"Dia tidak pernah mengadu perkara lain yang lebih berat kerana sikapnya agak pendiam. Saya nasihatkan supaya dia bersabar dan tabah menjalani latihan kerana latihan agak berat itu sudah asam garam dalam tentera," katanya.

Rosafindi berkata, anak sulung dari lima beradik itu bercita-cita untuk mengikut jejak langkahnya bergelar anggota komando suatu hari nanti.