Kes pukul isteri: Suspek panas baran, ada empat rekod jenayah

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 5:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes pukul isteri: Suspek panas baran, ada empat rekod jenayah
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah memberi penerangan pada sidang media mengenai seorang lelaki yang dipercayai memukul isterinya sehingga keguguran baru-baru ini, serta menggunakan modus operandi dengan menyasarkan penjawat awam wanita untuk dijadikan isteri bagi menyara hidupnya.- Foto Bernama.

ALOR SETAR - Polis mendedahkan suspek kes penderaan isteri sehingga parah dan mengalami keguguran di Sungai Petani minggu lalu merupakan seorang yang panas baran, berdasarkan empat rekod jenayah lampau berkaitan keganasan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 43 tahun itu mempunyai sejarah jenayah yang kebanyakannya melibatkan keganasan terhadap isteri dan teman wanita.

Menurut beliau, suspek juga pernah berkahwin sebanyak sembilan kali serta mempunyai 11 orang anak, selain dipercayai masih mempunyai tiga isteri ketika ini.

Perkahwinan terbaharunya dengan mangsa pula dilangsungkan di selatan Thailand.

"Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai kecenderungan menyasarkan wanita yang mempunyai pekerjaan tetap, khususnya dalam kalangan penjawat awam.

"Jika dilihat, kebanyakan pasangannya terdiri daripada kakitangan kerajaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, antara kesalahan lampau direkodkan terhadap suspek termasuk di bawah Seksyen 325, 323, 318 dan 506 Kanun Keseksaan.

"Antara kes yang pernah direkodkan termasuk kejadian mencederakan isteri di Johor Bahru pada 2021, yang menyaksikan suspek dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun, namun kini dalam proses rayuan di mahkamah," katanya.

Menurut Adzli, suspek berjaya ditahan pada jam 4.45 petang semalam di sebuah rumah inap di Alor Setar selepas dipercayai bersembunyi.

Pagi tadi, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani dan dibenarkan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Mercedes-Benz, empat telefon bimbit, sebatang besi serta penyangkut baju yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

"Dalam kes terbaharu ini, mangsa yang juga isterinya berusia 39 tahun dan merupakan penjawat awam dipercayai menjadi mangsa penderaan berulang sejak beberapa bulan lalu.

"Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang rusuk kiri dan kanan, patah tulang belakang serta lebam di seluruh badan. Lebih menyayat hati, mangsa turut mendakwa mengalami keguguran akibat dipukul suspek," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, selain denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Khamis lalu, seorang wanita berusia 39 tahun yang juga penjawat awam dilaporkan cedera parah selepas dipukul suaminya di kediaman mereka di Bandar Amanjaya, Sungai Petani.