
Semalam (28 April) media melaporkan lelaki tular yang disyaki memukul isterinya, seorang penjawat awam sehingga menyebabkan mangsa mengalami keguguran di Ambangan Height, Sungai Petani pada Khamis lalu (23 April) telah berjaya ditahan.
Menurut Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah, suspek ditahan sepasukan anggota polis di sekitar Alor Setar.
Suspek berusia 43 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani bagi mendapatkan perintah reman untuk polis melakukan siasatan terhadapnya.
Terbaharu, suspek telah direman tujuh hari bermula hari ini (29 April) sehingga Selasa, 5 Mei.
Perintah terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Mohammad Azlan Basri mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Memetik Harian Metro, kehadiran suspek di mahkamah dikawal ketat oleh polis. Mangsa dan keluarga turut dilihat berada di perkarangan mahkamah.
Sebelum ini seorang wanita hamil dilaporkan cedera di beberapa bahagian badan disyaki dipukul suaminya. Insiden menyebabkan mangsa yang merupakan seorang penjawat awam turut keguguran.
Mangsa dilaporkan dipukul dengan pelbagai objek seperti penyangkut baju, getah paip, batang penyapu dan batang besi langsir sehingga mengalami kecederaan pada tangan, lebam di muka dan tulang rusuknya juga berkemungkinan patah.
Malah jarinya juga dilaporkan patah.
Polis Sahkan Suspek Pelaku Sama Kes Jahidah Pada 2021
Terdahulu polis mengesahkan suspek adalah lelaki sama yang dilaporkan terlibat dalam kes pukul isteri sehingga koma di Kampung Aman, Larkin, Johor pada 2021.
Dalam insiden yang menggemparkan seluruh negara itu, Jahidah Nordin, seorang wanita yang juga hamil telah dipukul suaminya, di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor sehingga cedera parah di kepala apabila sebahagian tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain mengalami retak rahang, tulang belakang dan rusuk retak.
Jahidah yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Sultanah Aminah Hospital, Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Namun sehingga kini Jahidah masih lagi terlantar dan terus menerima rawatan walaupun berjaya melahirkan bayi lelaki pada November 2021.
Sebagai info, Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 4 November telah mengekalkan hukuman penjara 10 tahun terhadap suaminya, Rosmaini Abd Raof kerana mengakibatkan kecederaan parah.

Namun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman yang dipohon peguam Rosmaini itu sementara pihaknya memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Rayuan.
BACA ARTIKEL BERKAITAN:
Mahkamah Syariah Luluskan Tuntutan Fasakh Jahidah Nordin, Wanita Yang Koma Akibat Dipukul Suami






