Kes rasuah RM3 juta: Permohonan semakan Isa Samad 13 Mei

LocalPolitics
22 Apr 2026 • 3:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes rasuah RM3 juta: Permohonan semakan Isa Samad 13 Mei
Mohd Isa Abdul Samad

PUTRAJAYA – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta bakal melalui satu lagi detik penentuan apabila permohonan semakannya akan didengar Mahkamah Persekutuan di sini pada 13 Mei depan.

Kes berkenaan berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, 12 tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dan peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengesahkan perkara berkenaan ketika dihubungi media pada Rabu.

Bekas pemimpin UMNO itu memfailkan notis usul pada 4 Mac lalu di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Mohd Isa ketika ini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2024 yang membebaskan Mohd Isa terhadap sembilan pertuduhan rasuah.

Panel hakim itu mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang menjatuhkan hukuman enam tahun penjara, serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara terhadap Mohd Isa sekiranya gagal membayar denda.

Bekas ahli politik itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

Bayaran itu didakwa sebagai dorongan bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Pada 4 Mac lalu, Mohd Isa memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan sabitan dan hukuman terhadapnya.