
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kes seorang budak lelaki yang cedera sehingga retak pada bahagian tengkorak serta mengalami pendarahan dalam kepala dan telinga kanan masih hangat diperkatakan sehingga kini.
Manakan tidak, perbuatan salah seorang dari empat remaja berusia 14 tahun yang dipercayai rakannya menghempas mangsa ke lantai serta menampar nyata mengundang kemarahan orang ramai.
JPWPKL Jelas Kes Kini Dalam Tindakan Perundangan
Insiden ini turut mendapat perhatian Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) yang mengambil serius mengenai isu terbabit.
Jelas mereka dalam satu kenyataan di Facebook, kejadian yang berlaku di luar kawasan persekolahan itu kini dalam proses tindakan perundangan setelah polis selesai menjalan siasatan.
Terang JPWPKL, mereka turut memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
Tak Berkompromi Dengan Salah Laku Keganasan Namun Mohon Orang Ramai Tak Sebarkan Identiti Si Pelaku
Tegas JPWPKL lagi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan salah laku yang melibatkan keganasan.
“JPWPKL tidak berkompromi dengan sebarang salah laku keganasan melibatkan warganya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah,” kata mereka.
Pada masa sama, JPWPKL turut memohon kerjasama orang ramai agar tidak menyebarkan identiti pelaku di media sosial.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang,” katanya.
4 Remaja Telah Ditahan Pada 5 Julai Lalu & Dibebaskan Dengan Jaminan Polis
Sebelum ini, tular di media sosial hantaran seorang pengguna yang mendakwa anaknya mengalami keretakan pada tengkorak serta pendarahan dalam kepala dan telinga kanan akibat dipukul.
Jelasnya, kejadian tersebut telah berlaku pada 2 Julai lalu dan dia sudahpun membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Namun, dia hanya dapat berkongsi insiden tragis itu selepas dua minggu bergelut dengan trauma.
Lebih menyedihkan, berdasarkan perkongsian seorang pengguna yang dipercayai merupakan ibu saudara mangsa, anak saudaranya itu didakwa berisiko sawan seumur hidup akibat kecederaan yang dialami.
Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, empat remaja yang berusia 14 tahun telahpun ditahan pada hari yang sama pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan yang merupakan ibu mangsa pada 5 Julai lalu.
Kesemua mereka direman selama dua hari bermula 6 sehingga 7 Julai sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Budak Lelaki Cedera Dipukul: 4 Remaja Berusia 14 Tahun Sudah Ditahan Polis
Baca Artikel Berkaitan: Lagi Kes Buli! Ibu Dakwa Anak Dipukul Hingga Tengkorak Retak & Pendarahan Dalam Kepala Serta Telinga Kanan



