
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan tindakan perundangan sedang diambil berhubung insiden pergaduhan membabitkan murid yang berlaku di kawasan perumahan dan tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan, JPWPKL berkata pihak polis telah selesai menjalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan dan pihaknya memberikan kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang dijalankan.
“JPWPKL mengambil serius insiden pergaduhan melibatkan murid yang berlaku di kawasan perumahan seperti yang tular di media sosial.
“Pihak Polis telah selesai menjalankan siasatan dan kes tersebut kini dalam proses tindakan perundangan,” menurut kenyataan itu.
JPWPKL menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku keganasan yang melibatkan warga sekolah.
Menurutnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan peruntukan yang ditetapkan.
Baca juga:
MBI nafi dakwaan tulisan bahasa Cina dipasang bersama mercu tanda ‘IPOH’
Fahmi sifatkan tindakan lapan Ahli Kongres AS biadap
Semua masjid, surau di Terengganu diarah adakan solat hajat khas untuk Sultan Mizan
Dalam masa sama, JPWPKL menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut selain tidak menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.
Terdahulu, satu klip video kejadian tular di media sosial selepas ibu mangsa mendakwa anaknya menjadi mangsa serangan empat remaja.
Menurut hantaran wanita itu, anaknya mengalami keretakan tengkorak, pendarahan dalam kepala serta pendarahan pada telinga kanan akibat kejadian tersebut.
Wanita berkenaan turut memaklumkan bahawa laporan polis sudah dibuat dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan keadilan.
The post Pergaduhan murid tular: JPWPKL tiada kompromi terhadap salah laku keganasan appeared first on The Reporter.





