Kes Rogol Cucu Usia 13 Tahun: Atuk Ditahan Reman Selama 6 Hari

10 Jun 2026 • 9:49 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Kes Rogol Cucu Usia 13 Tahun: Atuk Ditahan Reman Selama 6 Hari

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, tular beberapa hantaran serta video di media sosial seorang kanak-kanak memaklumkan kepada ibunya mendakwa menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh yang dilakukan oleh datuknya.

Dalam beberapa lagi hantaran yang tular, turut kelihatan si ibu bersua dengan si datuk untuk mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan terbabit.

Warga emas ditahan reman 6 hari selepas didakwa merogol cucu sendiri berusia 13 tahun

Terbaharu, lelaki warga emas berusia 67 tahun itu telah ditahan reman selama enam hari bermula 10 Jun bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan merogol cucu perempuannya yang berusia 13 tahun.

Keputusan itu dibuat Majistret Arun Noval Dass di Mahkamah Majistret Batu Pahat sebaik permohonan reman dilakukan polis bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.

Kes tersebut mula terbongkar dipercayai sebaik remaja itu memaklumkan kepada ibu mengenai insiden yang dialaminya.

Si ibu lalu membuat laporan polis pada dua hari yang lalu (8 Jun).

Sebelum ini remaja perempuan tinggal dengan datuk lepas ibu bapa bercerai

Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan mendapati remaja perempuan itu sebelum ini telah tinggal bersama datuk di sebuah kediaman terletak di Batu Pahat selepas ibu dan bapanya bercerai, lapor Sinar Harian.

Mangsa bagaimanapun pada April lalu telah dibawa pulang dan duduk bersama ibunya ke sebuah negeri di utara Semenanjung.

Awalnya remaja enggan cerita hal sebenar sebelum mengaku dirogol dan dakwa datuk yang buat

Menerusi maklumat awal, ibu mangsa pada awalnya mengesyaki sesuatu sebaik mendapati remaja berkenaan menghantar mesej kepada seorang kenalan.

Remaja berkenaan bagaimanapun pada awalnya enggan menceritakan hal yang sebenar sebelum membuat pengakuan dirogol dan mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh datuknya.

Insiden dipercayai berlaku sepanjang tahun 2025

Siasatan yang dilakukan turut mendapati insiden terbabit dipercayai telah berlaku sepanjang tahun 2025 dan kejadian terakhir didakwa pada Disember 2025.

Ekoran daripada laporan yang diterima, pihak polis kemudian menahan warga emas yang juga pesara itu untuk membantu siasatan lanjut.

Ibu maklum anak kini berada di hospital & dalam keadaan tenang

Dalam satu lagi hantaran yang dikongsikan sebuah akaun di Threads dipercayai milik ibu mangsa memaklumkan anaknya kini berada di hospital dan dalam keadaan tenang.

“Kami masih di hospital dan anak saya dalam keadaan tenang. Maaf dari saya kalau ada video yang terkasar bahasa dekat anak saya, saya tak mampu kawal emosi, marah, kecewa.

“Bukan niat untuk bentak atau marah anak saya. Saya kecewa di sebabkan anak tidak berani berterus terang kepada saya,” katanya.

Malah si ibu turut meminta orang ramai mendoakan dia kuat untuk menghadapi perkara tersebut.

Image from: Kes Rogol Cucu Usia 13 Tahun: Atuk Ditahan Reman Selama 6 Hari