Dakwaan tampar cucu Nik Aziz: Nik Alif, Azhar pilih berdamai

LocalPolitics
10 Jun 2026 • 9:23 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Dakwaan tampar cucu Nik Aziz: Nik Alif, Azhar pilih berdamai

KUALA LUMPUR – Pertikaian membabitkan cucu kepada Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi, dan Ketua Umno Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad, berakhir dengan jalan perdamaian.

Sebelum ini, Nik Alif mendakwa dirinya ditampar bekas senator itu ketika menghadiri program universiti di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.

Namun menerusi kenyataan bersama, kedua-dua pihak memilih untuk berdamai dan menerima permohonan maaf dengan hati terbuka.

“Merujuk kepada insiden yang berlaku baru-baru ini membabitkan kedua-dua pihak, kami dengan ini bersama-sama memohon maaf terhadap satu sama lain berkenaan salah faham yang berbangkit daripada insiden yang didakwa berlaku ketika program Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 20 Mei lalu.

Kami sudah mengadakan perbincangan secara mesra dan mencapai persetujuan untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tanpa meneruskan sebarang pertikaian yang berpanjangan.”

Perbincangan mesra, disaksikan Nik Abduh

Kenyataan itu menyebut perbincangan turut dihadiri Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bersama beberapa individu lain.

“Kami juga bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berhubung insiden berkenaan,” katanya.

Azhar dan Nik Alif turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memudahkan penyelesaian secara baik ini, sambil berharap hubungan masyarakat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati.

“Menerusi kenyataan ini, kami menganggap perkara ini sudah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati privasi serta keputusan yang sudah dicapai.”

Media sebelum ini melaporkan Nik Alif mendakwa ditampar seorang bekas senator selepas tamat sesi ceramah pada Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 di Janda Baik, jam 6 petang, 20 Mei lalu.

Azhar menafikan dakwaan itu, menjelaskan beliau hanya menyentuh pipi anak saudara sahabatnya sebagai tanda kemesraan. - 10 Jun, 2026

The post Dakwaan tampar cucu Nik Aziz: Nik Alif, Azhar pilih berdamai appeared first on Scoop.