
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari ini (23 Januari) menolak rayuan dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun termasuk tiga sebatan terhadap pendakwah selebriti, Da’i Syed bagi kes merogol seorang wanita pada tujuh tahun lalu.
Susulan itu, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful diperintah ke penjara serta-merta bermula hari ini.
Keterangan bersifat penafian semata-mata, hakim tolak rayuan Da’i Syed
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Abdul Majid selepas menolak rayuan Syed Shah, 31, untuk mengetepikan sabitan serta penangguhan hukuman tersebut.
“Keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.
“Ia kesalahan yang serius dan sabitan serta hukuman dikenakan sebelum ini adalah selamat, justeru hukuman penjara itu bermula hari ini,” menurut hakim.
Syed Shah mengaku tidak bersalah rogol wanita
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.
Bagaimanapun, pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah daripada pertuduhan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Pihak pendakwaan buat rayuan di Mahkamah Tinggi
Namun pihak pendakwaan kemudiannya membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Tinggi pada 7 Mac 2024 membenarkan rayuan pendakwaan serta mengarahkan tertuduh untuk membela diri di mahkamah.
Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas pertuduhan merogol seorang wanita.
Baca Artikel Berkaitan: “Kamu Pendakwah” – Hakim Sifatkan Perbuatan Da’i Syed Merogol Mangsa Tidak Diterima Akal
Baca Artikel Berkaitan: Da’i Syed Bebas Kes Persetubuhan Luar Tabii dan Cabul Penuntut Kolej
Baca Artikel Berkaitan: Pendakwah Selebriti Direman 5 Hari, Bantu Siasatan Kes Rogol Kenalan Wanita
