
KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ahli Parlimen Pendang Datuk Awang Solahuddin Hashim, diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Peguam Datuk SN Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif, memaklumkan kepada Hakim Roslan Mat Nor bahawa kes itu telah diselesaikan dengan persetujuan pihak-pihak terhadap terma yang dipersetujui.
“Kedua-dua pihak ingin merekodkan terma-terma yang dipersetujui. Sehubungan dengan itu, plaintif menarik balik tindakan guaman ini tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.
“Kedua-dua pihak melampirkan satu salinan kenyataan awam yang telah dipersetujui bersama dengan usul persetujuan ini. Kami mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan rakan-rakan bijaksana. Saya mohon mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan,” kata peguam itu.
Sementara itu, peguam Yusfarizal Yussoff yang mewakili Awang Solahuddin mengesahkan perkara tersebut.
Hakim Roslan kemudian membatalkan kes saman tersebut tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, selain melapangkan tarikh perbicaraan pada 26 hingga 29 Oktober 2026.
“Mahkamah mengucapkan terima kasih kepada pihak plaintif (Anwar) dan defendan (Awang Solahuddin) atas kesediaan masing-masing untuk menyelesaikan kes ini secara baik dan kesudian plaintif menarik balik kes ini,” kata hakim itu.
Sementara itu, menurut kenyataan awam yang diperoleh media, pihak-pihak bersetuju menyelesaikan pertikaian itu secara muktamad, setelah mengambil kira implikasi prosiding saman fitnah berkenaan, termasuk kos litigasi yang perlu ditanggung kedua-dua pihak, serta terdapat perkara lebih besar dan penting yang wajar diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan negara.
Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian mereka berhubung kes saman itu dan Awang Solahuddin dengan rendah diri, tanpa sebarang keraguan, menarik balik segala kenyataan yang dibuat olehnya pada atau sekitar 21 Februari 2023, yang menjadi asas kepada tindakan guaman itu serta bersetuju untuk tidak mengulangi atau menerbitkan semula apa-apa kenyataan yang sama atau yang mempunyai maksud yang serupa pada masa hadapan.
Pada 3 Mac 2023, Anwar menfailkan saman fitnah terhadap Awang Solahuddin atas kenyataan yang didakwanya sebagai fitnah yang dibuat oleh Awang Solahuddin di lobi Parlimen semasa menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 21 Februari 2023.
Menurut Anwar, kenyataan tersebut yang dirakam dalam format audio dan video telah didedahkan kepada orang ramai.
Beliau berkata kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau yang mempunyai sifat pendendam serta membalas dendam telah menyalah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan mencampuri, mengganggu serta sewenang-wenangnya memberi arahan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan di Malaysia untuk mencapai agenda politik peribadi.
Anwar mendakwa Awang Solahuddin sengaja dan berniat jahat mengucap serta menerbitkan kenyataan fitnah itu untuk menghasut orang ramai serta menimbulkan kebencian peribadi terhadap plaintif yang kini ketua Kerajaan Perpaduan yang sah dan komited untuk membasmi segala bentuk rasuah.
Beliau berkata kenyataan fitnah itu memusnahkan reputasinya sebagai pemimpin yang dihormati di Malaysia serta di peringkat antarabangsa. – KOSMO! ONLINE
The post Kes saman fitnah Anwar terhadap Ahli Parlimen Pendang selesai appeared first on Kosmo Online.






