Kes saman Najib terhadap Tommy Thomas isu pembunuhan Altantuya selesai

LocalPolitics
19 Jan 2026 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Najib

SHAH ALAM – Kes saman fitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

Saman itu berhubung dakwaan bahawa memoir Tommy, ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang diterbitkan mengandungi fitnah iaitu mengaitkan Najib, 73, dengan pembunuhan seorang wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Penyelesaian kes saman berkenaan direkodkan di hadapan Hakim, Datuk Khadijah Idris selepas peguam kedua-dua pihak memaklumkan bahawa satu penyelesaian secara baik telah dicapai.

Semasa sidang akhbar, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan itu berkata, penyelesaian tersebut merupakan suatu kemenangan kepada anak guam.

“Ini kerana Tommy mengakui dalam kenyataannya di mahkamah sebelum ini bahawa, tiada bukti yang mengaitkan bekas pemimpin UMNO tersebut dengan pembunuhan Altantuya.

“Anda boleh menganggap ini sebagai kemenangan kerana tiada bukti yang diakui oleh defendan (Tommy) yang mengaitkan Najib dengan pembunuhan itu,” katanya.

Susulan itu beliau berkata, perkara ini sepatutnya menamatkan semua khabar angin terhadap anak kelahiran Pahang itu. 

AKAN MENYUSUL