Kes seludup minyak masak subsidi: Lima penjawat awam ditahan SPRM

12 Jan 2023 • 10:40 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SEMPORNA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam lelaki termasuk lima penjawat awam kerana disyaki meminta rasuah dalam kes penyeludupan minyak masak bersubsidi, di sini, malam tadi.

Menurut sumber, lima penjawat awam itu dan seorang lagi lelaki yang disyaki bertindak sebagai orang tengah, dipercayai meminta rasuah RM20,000 daripada seorang individu bagi tidak mengambil tindakan ke atas anaknya yang menyimpan minyak masak bersubsidi untuk diseludup ke luar negara.

“Anak individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan menyimpan kira-kira 100 kotak minyak masak subsidi dipercayai untuk diseludup ke luar negara, suspek berusia 29 hingga 50 tahun itu ditahan selepas menerima sebahagian daripada wang rasuah kira-kira RM5,000 daripada individu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau hari ini untuk proses permohonan reman bagi tujuan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. -Bernama