
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Semalam (2 November), rakyat Malaysia digemparkan dengan kejadian seorang lelaki yang maut akibat ditembak bertubi-tubi di kediamannya yang terletak di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand.
Mangsa rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Mohd Fuad Fahmie Ghazali ditembak sebanyak 18 kali oleh dua orang individu di hadapan isteri, Wan Fatihah Mat Hussin sebelum disahkan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Sungai Golok kira-kira jam 9 malam waktu Malaysia.
Kejadian mengerikan itu dipercayai terjadi selepas berlaku pertengkaran yang melibatkan isu hutang dan suspek dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi.
Ekoran itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan salah seorang suspek yang terlibat adalah bekas pemain Kelantan FA pada tahun 2019.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembakan Di Golok: Suspek Bekas Pemain Kelantan FA 2019
Bekas Pemain Kelantan FA Ditahan Selepas Serah Diri, Ada Dua Kerakyatan
Terbaharu, bekas pemain Kelantan FA yang didakwa merupakan salah seorang suspek yang terlibat dalam kes terbabit sudahpun ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sungai Golok malam tadi (2 November).
Menurut Jurucakap Balai Polis Sungai Golok, suspek yang merupakan penjaga gol Kelantan FA pada 2019 menyerah diri bersama dengan pistol yang digunakan sebagai senjata untuk menembak mangsa.
Memetik Sinar Harian, hasil semakan pihaknya mendapati, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an dan beraksi sebagai penjaga gol mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia.
Isteri Dakwa Suami Ditembak Bertubi-Tubi Sehingga Habis Peluru
Sebelum ini, Wan Fatihah yang sedang sarat mengandung dan dijangka melahirkan anak pada 10 Disember depan mendedahkan ketika kejadian pada 1 November lalu kira-kira jam 6.40 petang, arwah suaminya itu sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di hadapan rumah mereka.
Mangsa tidak sempat menyelamatkan diri apabila dua orang lelaki dipercayai sepupunya sendiri muncul dari arah belakang sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi sehingga habis peluru.
Kongsi Wan Fatihah, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mampu mendapatkan serta memeluk suaminya selepas lelaki itu rebah.
Hasil urusan bedah siasat mendapati Arwah Mohd Fuad Fahmie yang berusia 33 tahun ditembak pada bahagian tubuh, leher dan beberapa bahagian lain dengan 18 das tembakan.
Jenazah Mohd Fuad Fahmie telahpun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Apam pada jam 2.30 petang semalam (2 November).
Ibu Mohd Fuad Fahmi Dakwa Isu Tidak Puas Hati Telah Lama Berlaku
Dalam pada itu, ibu Mohd Fuad Fahmi yang dikenali sebagai Zaiton Abdul Rahman mendedahkan dia ada meminta anak lelakinya itu tinggal di Pasir Mas, Kelantan kerana didakwa sering menerima ancaman daripada individu yang menembaknya.
Jelas Zaiton, bukan hanya dia sahaja malah pasukan keselamatan termasuk polis Thailand turut memberi amaran.
“Isu tidak puas hati di antara arwah anak dengan lelaki itu sudah lama berlaku dan bukannya perkara baru.
“Apabila sering diancam termasuk melepaskan tembakan amaran di rumah, polis Thailand menasihatkan supaya Mohd Fuad pulang ke Malaysia seketika supaya keadaan reda.
“Namun dia enggan dan tidak takut dengan ancaman suspek dan setiap kali diminta supaya pulang, arwah sentiasa berkata ayat yang sama iaitu di mana-mana saja boleh mati,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Beliau turut mendedahkan anaknya tidak pernah berhutang dengan suspek. Namun, suspek pernah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap arwah sebelum ini.
“Arwah pernah bercerita mengenai lelaki itu yang tidak puas hati dengannya. Ada yang mengaitkan unsur hutang namun kisah sebenar adalah anak saya tidak berhutang dengan dia.
“Sebaliknya dia yang menipu duit menantu saya sebanyak RM2,000 namun anak saya sudah menghalalkan wang berkenaan, namun masih timbul isu tidak puas hati,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Tembakan Di Golok: Suspek Bekas Pemain Kelantan FA 2019
Baca Artikel Berkaitan: Kes Rogol, Dadah & Senjata Api Di Kelantan Meningkat – PDRM


