
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Semalam (2 November) negara digemparkan dengan kejadian maut melibatkan seorang rakyat Malaysia kerana ditembak sebanyak lapan kali oleh seorang individu yang dikenali di kediamannya di Golok, Thailand.
Namun isteri mangsa kemudiannya mendedahkan suaminya terkena 18 das tembakan selepas pemeriksaan dibuat di hospital.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Fuad Fahmie Ghazli berusia 33 tahun yang berasal dari Kampung Kepas Apam dilaporkan meninggal dunia pada 9 malam sewaktu dirawat di Hospital Sungai Golok, lapor Berita Harian.
Insiden itu dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran membabitkan isu hutang dan supek dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan sepucuk pistol di lokasi terbabit.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat kemudiannya mengesahkan mengenai kejadian itu.
Polis sahkan salah seorang suspek bekas Pemain Kelantan FA tahun 2019
Terbaharu, polis mengesahkan salah seorang daripada suspek yang terbabit dalam kes tembahan itu adalah bekas pemain Kelantan FA tahun 2019.
Menurut Mohd Yusoff, ekoran daripada insiden yang berlaku polis Kelantan telah memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand untuk membantu pihak berkuasa memburu suspek.
“Kita tidak menolak ada kemungkinan suspek mungkin melarikan diri ke negara ini,” ujarnya, lapor Sinar Harian.
Jelas beliau lagi, ketika ini polis Kelantan masih lagi belum menerima sebarang info rasmi dari pihak berkuasa Thailand mengenai perkara itu.
Suspek yang merupakan bekas pemain Kelantan FA pada tahun 2019 itu dikatakan beraksi di posisi penjaga gol.
Selain itu suspek juga mempunyai pengalaman beraksi dalam Liga Thailand dengan pasukan Yala United FC dan PT Prachuap FC.
Menurut laporan Malaysia Kini yang memetik Bernama, suspek merupakan bekas pemain import Kelantan FA dan mangsa didapati masuk ke Thailand pada 1 November menggunakan pas sempadan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa turut memiliki empat rekod kesalahan berkaitan dadah sejak 2020.”
Polis Thailand buru suspek yang menaiki pikap dengan nombor pendaftaran Narathiwat
Terdahulu, polis Thailand memaklumkan sedang memburu suspek yang terlibat kes berkenaan.
Ujar Jurucakap Polis di Wilayah Narathiwat, suspek yang dikenali sebagai Haris Samae berusia 31 tahun itu telah melarikan diri menggunakan sebuah pikap selepas insiden berlaku.
“Gambar suspek telah diperoleh dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut mengesan pikap jenis Toyota Vigo dengan nombor pendaftaran Narathiwat dinaiki lelaki itu untuk melarikan diri. Gerakan memburu suspek masih diteruskan di sekitar wilayah ini. Kami menjangka suspek akan ditangkap tidak lama lagi,” ujarnya, lapor Kosmo.
Kata Jurucakap itu lagi, hasil bedah siasat mendapati mangsa terkena sebanyak lapan das tembakan di badan menggunakan sepucuk pistol 9 milimeter.





