Seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes tikaman seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, semalam.
Pelajar lelaki direman 7 hari
Menurut laporan Berita Harian, perintah reman sehingga Selasa depan itu dikeluarkan oleh Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha selepas membenarkan permohonan pihak polis di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Reman tersebut dibuat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, remaja berkenaan yang merupakan pelajar Tingkatan Satu (kelas peralihan) hadir ke mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren dan diwakili peguam, Anuar Ezzad.
Namun, suspek tidak kelihatan di perkarangan mahkamah kerana dibawa masuk melalui laluan berbeza atas faktor keselamatan.
Terdahulu, dalam kejadian sekitar jam 9.10 pagi semalam, mangsa berusia 16 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan beberapa kesan tikaman pada badan di kawasan sekolah terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pelajar lelaki berkenaan yang juga rakan sekolah mangsa telah ditahan tidak lama selepas kejadian.
“Polis turut merampas dua senjata tajam di lokasi kejadian. Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat serta mengambil keterangan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya.
Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)
The post Kes Tikam Di Sekolah: Pelajar Lelaki Direman Tujuh Hari appeared first on Borak Daily.


