
SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 68 tahun melecur dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah pekerja di kawasan KLK Minat Teguh Batu 23, di sini, malam Isnin.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Jimmy Lagung, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 8.55 malam sebelum dua jentera bomba digerakkan ke lokasi sejauh 41 kilometer.
“Setibanya pasukan di lokasi pada jam 9.53 malam, didapati kebakaran melibatkan tiga rumah kayu serta sebuah Proton Saga yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan menggunakan dua aliran salur bantu mula daripada dua jentera secara ofensif dengan sumber air dari jentera dan tangki air,“Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 10 malam,” dalam kenyataan, Selasa, sambil menambah, operasi ditamatkan sepenuhnya 33 minit kemudian selepas memastikan tiada lagi ancaman bahaya.
Katanya, mangsa yang melecur di bahagian tangan dan belakang diberi rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) sebelum dihantar ke hospital.
Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.


