Kes tikam pelajar: Shing Xuen disemadikan hari ini

LocalPolitics
20 Oct 2025 • 2:12 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Pelajar perempuan berusia 16 tahun, mendiang Yap Shing Xuen, yang maut dalam insiden kejam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, Selasa lalu, akan disemadikan hari ini.

Lapor BH, mayat pelajar perempuan itu akan disemadikan secara pembakaran di Krematorium Nirvana di Shah Alam, Selangor selepas tiga hari upacara sembahyang dan penghormatan berakhir, malam tadi.

Mangsa ditemui tidak bernyawa di tandas sekolah dalam keadaan berlumuran darah pada 14 Oktober lalu selepas ditikam seorang pelajar lelaki dari kelas peralihan sekolah sama.

Dua senjata tajam, dipercayai digunakan untuk menikam mangsa, ditemui di tempat kejadian.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilapor mengesahkan, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun telah ditahan berhubung kes terbabit.

Dalam pada itu, suspek masih direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Polis turut memaklumkan laporan patologi dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Dalam sidang media pada Khamis lalu, ibu pelajar perempuan berkenaan, Wong Lee Ping, mendakwa kira-kira 200 kesan tikaman dikesan pada badan anaknya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau khabar angin mengenai kes berkenaan.

Tambahnya lagi, keluarga amat terkesan dengan tragedi itu dan memohon privasi ketika mereka sedang berkabung atas kehilangan anak bongsu daripada dua beradik terbabit.

Media pada Rabu melaporkan, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tikaman pada dada dan leher mangsa dikenal pasti sebagai punca kematian berdasarkan hasil bedah siasat dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). - 20 Oktober, 2025

The post Kes tikam pelajar: Shing Xuen disemadikan hari ini appeared first on Scoop.