“Seramai 127 saksi sudah dipanggil” – Laporan Patologi Pelajar Dit*kam Dijangka Siap Dalam 1 Hingga 3 Bulan

LocalPolitics
18 Oct 2025 • 5:21 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Polis hari ini memaklumkan laporan patologi berhubung kematian seorang pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama dijangka siap dalam tempoh antara satu hingga tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, laporan penuh bedah siasat masih belum diterima daripada pihak patologi dan hanya selepas itu barulah jumlah sebenar kesan tikaman pada tubuh mangsa dapat disahkan secara rasmi.

“Biasanya laporan patologi mengambil masa antara satu hingga tiga bulan untuk disiapkan sebelum sebarang pengesahan boleh dibuat,” katanya, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ibu mangsa yang mendakwa menerima laporan menunjukkan anaknya mengalami lebih 200 kesan tikaman.

image is not available

Menurut Shamsudin, siasatan masih diteruskan dan setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada 127 individu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Seramai 127 saksi telah dipanggil dan diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan. Manakala suspek utama yang berusia 14 tahun masih direman hingga 21 Oktober,” jelasnya.

Terdahulu, kejadian tragis itu berlaku di kawasan tandas perempuan sekolah berkenaan apabila mangsa berusia 16 tahun ditikam hingga maut oleh pelajar lelaki tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.