Kes tikam polis di Pasar Pudu : suspek bertindak agresif kerana bawa dadah

LocalPolitics
2 Aug 2025 • 1:39 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Suspek yang menikam anggota polis ketika menjalankan rondaan cegah jenayah di Pasar Pudu, Jalan Yew, di sini pada Khamis lepas, bertindak agresif kerana membawa dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata lelaki itu yang mempunyai 14 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah kekerasan, ditahan reman selama tujuh hari hingga Khamis depan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh menggunakan senjata dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat anggota polis terbabit, Koperal Mohd Nadzri Sudiman di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.

Turut hadir Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad; Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman Datuk Azizee Ismail; Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohd Lazim Ismail dan Ketua Polis Daerah Cheras Aidil Bolhassan.

Ditanya mengenai keadaan Mohd Nadzri yang bertugas di Balai Polis Pudu itu, Ayob Khan berkata beliau mengalami kecederaan di bahagian usus dan kini berada dalam keadaan stabil, bagaimanapun masih lemah.

"Luka tikaman itu bersaiz kira-kira tiga sentimeter lebar dan tujuh sentimeter dalam, tetapi bernasib baik kerana tidak mengenai organ penting dan hanya mengenai usus kecil.

"Beliau boleh bercakap, tetapi dari segi reaksi, beliau masih menahan sakit akibat pembedahan usus … dan masih di bawah pengawasan doktor. Insya-Allah dalam masa seminggu atau dua minggu ini akan pulih," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata pihaknya sentiasa melakukan penilaian semula terhadap prosedur operasi standard (SOP) termasuk keperluan pemakaian kamera badan dalam kalangan anggota yang bertugas di lapangan.

Beliau berkata ketika kejadian, anggota berkenaan tidak memakai kamera badan, tetapi keluar bertugas bersama dengan rakan setugas lain.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya sudah meminta supaya semua anggota terutama daripada Unit Rondaan Bermotosikal dan Unit Kereta Peronda dibekalkan dengan kamera badan.

"Setakat ini, keseluruhan kamera badan yang telah diedarkan kepada anggota adalah sebanyak 7,648 di seluruh negara bagi fasa satu manakala bagi fasa dua kelak, PDRM akan menerima 10,000 unit lagi," katanya. - 2 Ogos, 2025