Kes tipu tawaran kerja sambilan meningkat 144 peratus, catat kerugian RM222 juta

LocalBusiness & Finance
26 Jan 2026 • 9:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kes penipuan tawaran pekerjaan sambilan mencatat peningkatan drastik pada tahun lalu dengan jumlah kerugian mencecah RM222 juta berbanding RM126 juta pada tahun sebelumnya.

KUALA LUMPUR – Kes penipuan tawaran pekerjaan sambilan mencatat peningkatan drastik pada tahun lalu dengan jumlah kerugian mencecah RM222 juta berbanding RM126 juta pada tahun sebelumnya.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dalam kenyataan memaklumkan, statistik menunjukkan jumlah laporan kes meningkat ketara daripada 3,656 kes pada 2024 kepada 8,911 kes pada tahun lalu, bersamaan kenaikan sebanyak 144 peratus.

"Sindiket penipuan memperdaya orang ramai dengan menyamar sebagai majikan atau ejen pengambilan pekerja, kononnya menawarkan peluang pekerjaan," katanya.

Menurutnya, sindiket memperdaya mangsa dengan tawaran kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan melalui tugasan mudah iaitu ‘like’ dan ‘follow’ di media sosial.

"Antara taktik yang sering digunakan adalah meminta bayaran pendahuluan atas alasan yuran latihan, deposit atau permit sebelum memulakan kerja.

"Tawaran dilakukan melalui WhatsApp, Telegram daripada nombor tidak dikenali dan meminta maklumat peribadi serta perbankan," katanya.

Menurut kenyataan itu, maklumat syarikat yang menawarkan pekerjaan berkenan kabur dan tidak mempunyai rekod sah.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, membuat semakan latar belakang syarikat dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran kerja yang gajinya tidak masuk akal," katanya.