
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bergelar 'Tan Sri' ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menipu wang pelabur dipercayai mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan perkara itu berkata suspek diberkas, semalam.
Azam berkata suspek lelaki berusia lingkungan 60-an yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam berkenaan ditahan selepas tiba di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, SPRM kemudian memperoleh kebenaran perintah reman selama empat hari terhadap suspek itu di mahkamah Putrajaya, pagi tadi, bagi membantu siasatan.
“Kita mendapat maklumat bahawa Tan Sri berusia 60-an itu dan seorang wanita berumur 50-an yang memegang jawatan ahli Lembaga Pengarah sebuah syarikat pelaburan, disyaki terbabit penipuan pelabur berskala besar.
Ramai pelabur dari serata negara dilaporkan kehilangan ratusan juta ringgit. Malah, kita menganggarkan kerugian dialami pelabur itu mencecah lebih RM300 juta sejak dua tahun lalu.
Pelaburan dipercayai didalangi dua suspek berkenaan adalah pelbagai dengan dijanjikan pulangan yang lumayan,” katanya kepada pemberita pada Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media, di Kota Bharu, hari ini.
SPRM menegaskan kerugian besar ini menunjukkan betapa seriusnya ancaman sindiket pelaburan palsu terhadap masyarakat dan ekonomi negara.
Sehubungan itu, Azam Baki mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan kegiatan pelaburan yang akhirnya terpaksa menanggung kerugian. - 22 Januari, 2026
The post SPRM tahan ‘Tan Sri’ didakwa tipu wang pelaburan lebih RM300 juta appeared first on Scoop.

