Kes Zara Qairina: Identiti 5 remaja dirahsiakan ikut Akta Kanak-Kanak, bukan arahan VVIP - Peguam

LocalPolitics
20 Aug 2025 • 5:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Hamid ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, menegaskan bahawa kerahsiaan identiti lima remaja yang dituduh berkaitan kematian mangsa adalah mengikut ketetapan undang-undang dan bukannya unsur permainan ‘orang atasan’ atau VVIP.

Peguam, Hamid Ismail yang mewakili pasukan tersebut berkata, larangan mendedahkan identiti itu termaktub di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang sebarang penyiaran membabitkan kanak-kanak.

Beliau menjelaskan penegasan itu dibuat bagi mengelakkan salah faham masyarakat mengenai sebab identiti lima remaja terbabit tidak didedahkan dalam prosiding pendakwaan yang berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada Rabu.

“Bagi kanak-kanak, banyak perkara yang tidak boleh didedahkan kerana wujud Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang menghalang penyiaran mengenai kanak-kanak tersebut sama ada melalui tempat tinggal, nama atau ibu bapanya.

“Secara ringkas, melalui seksyen ini identiti kanak-kanak adalah dirahsiakan sama ada dalam tempoh perbicaraan atau semasa siasatan. Bukannya sebab orang ternama (VVIP) atau disuruh sesiapa. Tidak, itu adalah undang-undang Malaysia. Jadi jangan salah sangka ini permainan ‘orang atas’.

“Ini adalah undang-undang kita, Seksyen 15. Boleh baca Akta Kanak-Kanak 2001,” jelasnya kepada pemberita selepas prosiding pertuduhan terhadap lima remaja itu berlangsung di Mahkamah Kanak-Kanak pada Rabu.

Diminta mengulas kenyataan pasukannya pada Selasa yang disifatkan berbaur spekulasi oleh Peguam Negara, Hamid menafikan dakwaan berkenaan.

“Itu bukan spekulasi, kami buat kenyataan itu berdasarkan apa yang ada setakat ini,” katanya.

Mengenai langkah seterusnya selepas pendakwaan, beliau berkata, proses inkues tetap berlangsung bermula 3 September ini dan tiada larangan ‘gag order’ dikenakan terhadap prosiding tersebut.

“Inkues tetap berjalan pada 3 September. Gag order hanya untuk kes ini sahaja. Inkues tidak ada dan boleh dibuat liputan,” katanya.

Terdahulu, pasukan peguam yang turut dianggotai Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser hadir sebagai pemerhati dalam prosiding berkenaan.

 

 

Lagi artikel berkaitan: