'Tolong tampil' - Peguam minta saksi bantu rungkai kes Zara Qairina

LocalPolitics
20 Aug 2025 • 6:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Peguam keluarga Zara Qairina menyeru saksi tampil membantu siasatan dan inkues.

KOTA KINABALU - Pasukan peguam yang mewakili Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, memohon agar saksi kaitan tampil memberi maklumat bagi membantu proses perundangberan dalam merungkai kematian remaja tersebut.

Peguam, Hamid Ismail yang mewakili pasukan itu berkata, pihaknya masih mengumpul keterangan saksi untuk tujuan pendakwaan dan inkues yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Mohon saksi yang masih ada, tolong tampil. Itulah permintaan spesifik kami. Setakat ini ada yang masih mahu berjumpa dengan kami dan secara peribadi, saya ada menerima maklumat tetapi perlu ditapis.

“Setakat ini, sudah ada beberapa orang yang berjumpa saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri prosiding pertuduhan terhadap lima remaja di Mahkamah Kanak-Kanak di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes termasuk saksi yang tampil, selepas kes tersebut melalui proses pertuduhan dan akan diteruskan dengan inkues dalam masa terdekat.

Ditanya sama ada saksi yang ditemuinya terdiri daripada pelajar sekolah, Hamid menegaskan tiada pendedahan akan dibuat demi keselamatan mereka, namun menyifatkan ia sebagai perkembangan positif.

“Untuk keselamatan, saya tidak boleh dedahkan tetapi Alhamdulillah memang ada (saksi tampil),” ujarnya.

Hamid turut memaklumkan pihaknya akan berhubung dengan Noraidah dari semasa ke semasa bagi menyampaikan perkembangan kes tersebut.

Terdahulu, pasukan peguam yang turut disertai Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser hadir sebagai pemerhati dalam prosiding berkenaan.

Allahyarham Zara Qairina, 13, dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mendapat liputan meluas termasuk di media sosial selepas dikaitkan dengan perbuatan buli di sekolah berkenaan.

 

 

Lagi artikel berkaitan: