Kesahihan kenyataan Exco Negeri Sembilan dipersoal

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 11:51 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

PETALING JAYA: Kesahihan kenyataan yang didakwa dikeluarkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan mengenai pelucutan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu dipersoalkan oleh Peguam, Rosli Dahlan.

Beliau mempersoalkan sama ada Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim telah memperakui kenyataan yang dikeluarkan petang tadi dengan menegaskan bahawa ia hanya ditandatangani sebagai barisan ahli Exco Negeri Sembilan.

“Bolehkah satu ketetapan Exco dibuat tanpa perakuan menteri besar? Keputusan serta ketetapan Exco sepatutnya diumumkan oleh menteri besar selaku ketua Exco.

“Jadi, bolehkah Exco mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa menteri besar? Dan siapakah yang memberi kebenaran untuk mengeluarkan kenyataan itu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, pejabat Menteri Besar belum mengesahkan kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak Exco bersetuju bahawa penyingkiran Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada April lalu adalah sah dan atas dasar itu, Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar merupakan pemerintah baharu negeri berkenaan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan dua hari selepas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai pemerintah negeri itu.

Petang tadi, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta oleh Undang Yang Empat, manakala Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar negeri itu yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, keputusan berkenaan dicapai secara kolektif dalam mesyuarat yang berlangsung semalam dan dipengerusikan Ismail.

Kenyataan berkenaan menyebut Exco bersetuju bahawa penyingkiran Tuanku Muhriz pada April lalu adalah sah dengan proklamasi penurunan takhta baginda bertarikh 19 April telah ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

Proklamasi itu juga menurut kenyataan sama telah ditandatangani Ismail pada 3 Ogos lalu menjadikannya sempurna menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Kenyataan itu turut menyifatkan proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April sebagai teratur dan sempurna selepas ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

Pentadbiran kerajaan negeri turut dikehendaki mengambil langkah serta-merta bagi melaksanakan pengumuman itu untuk mematuhi sabda dan ketetapan Undang Yang Empat, menurut kenyataan berkenaan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan dua hari selepas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai pemerintah negeri itu.

DKU turut menegaskan bahawa percubaan terbaharu untuk melucutkan takhta baginda pada awal bulan ini adalah tidak sah. – UTUSAN

The post Kesahihan kenyataan Exco Negeri Sembilan dipersoal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved