Aminuddin dakwa tindakan Exco Negeri Sembilan derhaka

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 9:35 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Aminuddin Harun mengeluarkan kenyataan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz dan tindakan EXCO Negeri Sembilan.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mendakwa tindakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mengeluarkan pengumuman pada 16 September berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu perbuatan penderhakaan terhadap baginda.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, beliau tidak mengiktiraf pengumuman berkenaan dan menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Beliau turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap setiap ahli EXCO yang terlibat.

Menurutnya, dokumen proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang menjadi asas kepada pengumuman itu pernah dikemukakan kepadanya untuk ditandatangani pada 20 April ketika beliau masih menyandang jawatan Menteri Besar. Bagaimanapun, beliau enggan berbuat demikian kerana mendakwa tindakan berkaitan proklamasi itu tidak menepati kehendak Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Aminuddin berkata, antara sebab penolakannya adalah kerajaan negeri ketika itu tidak menerima dan tidak mengiktiraf tindakan Mubarak Dohak yang terlibat dalam urusan proklamasi berkenaan kerana menurutnya, individu itu bukan lagi Undang Luak Sungei Ujong. Beliau turut berpandangan perkara sama tidak boleh dikemukakan semula kepada Menteri Besar lain empat bulan kemudian.

Baca juga:
Nafi dakwaan

Beliau pada masa sama menafikan dakwaan bahawa satu siasatan penuh dan lengkap seperti dikehendaki Perkara 10 UUTKNS telah dijalankan dalam mesyuarat di Balai Undang Sungai Ujong pada 5 Mac lalu. Menurut Aminuddin, tiada dakwaan pernah dikemukakan terhadap Tuanku Muhriz dan baginda juga tidak diberikan peluang untuk menjawab sebarang dakwaan.

Aminuddin turut mempersoalkan perubahan pendirian barisan EXCO apabila menurutnya, kerajaan negeri pada 9 September menyatakan proklamasi berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara Perkara 10, selain tidak sah serta tidak boleh dilaksanakan. Namun, tujuh hari kemudian, EXCO mengumumkan proklamasi itu telah lengkap dan berkuat kuasa.

EXCO tiada kuasa buat keputusan

Menurut Aminuddin, ahli EXCO tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan mengenai kedudukan Tuanku Muhriz. Beliau turut merujuk keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 14 September yang menurutnya menegaskan proklamasi itu tidak sah dan terbatal sejak awal serta Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau turut mempertikaikan pengumuman EXCO yang menyatakan proklamasi itu hanya disempurnakan selepas ditandatangani Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos, sedangkan pengganti didakwa telah dipilih pada 19 April. Aminuddin berhujah bahawa pengganti tidak boleh dipilih selagi jawatan berkenaan masih disandang dan sekali lagi menegaskan beliau tidak mengiktiraf pengumuman EXCO pada 16 September itu.

The post Aminuddin dakwa tindakan Exco Negeri Sembilan derhaka appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved