amree29/10/2026 - 11:30 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt — Bencana jerebu merentas sempadan yang melanda negara kini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah memaksa syarikat perkilangan menanggung kos tambahan sekurang-kurangnya RM280,000 bagi pembelian pelitup muka serta perbelanjaan perubatan pekerja.
Dapatan terbaharu daripada laporan yang diterbitkan oleh Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) mengesahkan fenomena berkenaan memberi kesan secara langsung kepada tahap produktiviti dan kewangan sektor perkilangan.
Menurutnya dalam kenyataan, daripada sejumlah 86 premis ahlinya yang ditinjau dengan sebanyak 81 daripadanya merupakan pengilang, kira-kira 45 responden melaporkan lonjakan kos operasi secara mendadak akibat impak jerebu.
"Hampir keseluruhan responden yang mengalami gangguan operasi mengesahkan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan, terutamanya bagi menyediakan pelitup muka dan menampung bil rawatan perubatan staf," jelas FMM.
Tinjauan yang dijalankan antara 12 hingga 21 Oktober 2026 itu mendapati kira-kira 76% syarikat membelanjakan wang bagi pelitup muka, manakala 58% lagi melibatkan lonjakan kos perubatan pekerja.
Secara keseluruhannya, lebih dua pertiga daripada premis yang menyertai tinjauan melaporkan mengalami gangguan operasi, dengan 26% daripadanya menilai gangguan tersebut sebagai sederhana hingga signifikan.

Sebahagian besar responden tinjauan adalah pengilang yang beroperasi di Selangor dan Pulau Pinang, selain dua premis di Sarawak yang dikenal pasti sebagai negeri paling teruk terjejas.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok menegaskan bahawa isu jerebu secara berpanjangan memicu risiko ketidakhadiran pekerja, gangguan jadual pengeluaran, serta penyerahan barangan yang terhenti.
Beliau memberi amaran bahawa peningkatan belanja bagi langkah perlindungan kesihatan ini akhirnya akan menjejaskan daya saing perniagaan serta daya tahan ekonomi negara secara keseluruhan.
"Sehubungan itu, FMM menggesa pemimpin serantau memberi perhatian serius terhadap isu pencemaran jerebu merentas sempadan pada Sidang Kemuncak APEC dan ASEAN yang akan datang," katanya.
Berdasarkan laporan FMM, Malaysia mencatatkan 422 hari dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 di 13 buah bandar antara 1 Julai hingga 22 Oktober 2026, lonjakan ketara berbanding 207 hari pada tempoh sama tahun 2019. - DagangNews.com





