
JOHOR BAHRU - Pembangunan pusat data di negara ini perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kesannya terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat, terutama membabitkan penggunaan sumber tenaga, air serta tanah.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, operasi pusat data yang berjalan tanpa henti turut boleh menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan sekitarnya, antaranya akibat pencemaran bunyi dan pencahayaan yang terlalu terang, termasuk pada waktu malam.
Justeru, baginda berharap semua pihak, termasuk pihak berkuasa, sektor swasta dan masyarakat, tidak memandang ringan kesan pembangunan kemudahan berkenaan.
"Kita perlu memberi perhatian kepada penggunaan elektrik dan air yang amat tinggi, penggunaan tanah yang tidak wajar serta kesannya terhadap masyarakat setempat, termasuk gangguan bunyi dan cahaya lampu yang terang sepanjang siang dan malam,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucapan pada Istiadat Konvokesyen ke-70 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.
Istiadat berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi universiti itu.
Raja Zarith Sofiah yang juga Canselor UTM bertitah, kemajuan teknologi perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara alam sekitar memandangkan kegiatan manusia turut menyumbang kepada pelbagai masalah global, termasuk perubahan iklim, pencemaran, kepupusan biodiversiti dan penyusutan sumber alam.
Sehubungan itu, baginda menyeru golongan berpendidikan supaya memainkan peranan lebih aktif dalam usaha membendung kemerosotan alam sekitar, termasuk melalui perubahan sikap dan kesedaran bahawa tanggungjawab memelihara bumi perlu dipikul bersama demi generasi akan datang.
Menyentuh perkembangan kecerdasan buatan (AI), baginda bertitah teknologi berkenaan seharusnya dimanfaatkan untuk membawa manfaat kepada kehidupan manusia, bukannya hanya tertumpu kepada kepentingan ekonomi dan keuntungan.
Baginda turut menekankan tanggungjawab UTM sebagai universiti penyelidikan yang menerajui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia untuk memastikan kemajuan teknologi sentiasa berpandukan prinsip etika, integriti dan nilai kemanusiaan.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan para graduan bahawa kemajuan pesat AI bukan sahaja membuka ruang dan peluang baharu, malah menuntut mereka berdepan cabaran yang semakin kompleks.
Oleh itu, baginda berharap para graduan tidak berhenti menimba ilmu serta sentiasa memperkasa kemahiran masing-masing agar kekal bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi. - Getaran, 14 November 2026





