“Kesejahteraannya Keutamaan Kami” – Zus Sahkan Zurista Tidak Dipecat, Tapi Dapat Cuti Bergaji Untuk Pulih

12 Nov 2025 • 1:31 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Sebelum ini, tular hantaran di media sosial menyaksikan perbalahan seorang barista syarikat kopi terkenal, Zus Coffee yang bertengkar bersama seorang pelanggan sebelum disimbah dengan air kopi.

Perkara tersebut kemudiannya telah mendapat perhatian ramai. Rata-rata netizen berharap agar pihak Zus Coffee meneliti kes tersebut dan tidak mengambil tindakan melulu terhadap Zurista yang terlibat.

Penularan video tersebut turut mencetuskan kemarahan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan sikap biadap pelanggan berkenaan.

Zus kemudiannya memaklumkan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk melakukan siasatan secara menyeluruh selain akan sentiasa bersama pekerjanya itu.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Insiden Pelanggan Simbah Air Kopi Ke Arah Pekerja, Zus Coffee Beri Penjelasan

Zus Coffee Buat Laporan Polis Untuk Lindungi Privasi Zurista

Hari ini (12 November), Zus Coffee menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan perkembangan terkini tentang kejadian tersebut. Jelas mereka, Zurista terbabit telah mengalami situasi yang tegang ekoran daripada apa yang berlaku.

Susulan itu, laporan polis telah pun dilakukan pada Isnin (11 November) bagi melindungi keselamatan dan privasi pekerja yang terlibat.

Zurista Ambil Cuti Bergaji Buat Masa Ini

Mengulas tentang perkembangan terkini, Zus Coffee memaklumkan bahawa Zurista itu masih bekerja bersama mereka dan sedang mengambil cuti bergaji ekoran dari insiden itu.

Bagi mencegah perkara sama daripada berulang lagi, Zus Coffee akan memperkukuh latihan pekerja tentang cara terbaik menangani pelanggan.

“Kesejahteraannya (pekerja) kekal menjadi keutamaan kami. Kami sedar bahawa pelanggan hadir dengan jangkaan berbeza. Kami mengambil peluang ini bagi memperkukuh latihan dan sistem sokongan kami, dalam usaha membina budaya kerja yang mampu menangani cabaran dengan professionalisme dan empati,” kata Zus menerusi kenyataan terbabit.

Zus Coffee Mohon Orang Ramai Henti Sebar Video Tular

Dalam pada itu, Zus Coffee berkata bahawa kes ini memberi kesan secara tidak langsung kepada kesejahteraan mental Zurista berkenaan. Sehubungan itu, Zus memohon agar orang ramai henti menularkan video yang boleh mendedahkan identiti individu terlibat.

“Kami memohon komuniti dalam talian membantu memadamkan hantaran yang mendedahkan identiti, kerana penyebaran berterusan boleh membawa kesan yang nyata dan berpanjangan.

“Di Zus, kami tidak bertolak ansur dengan tingkah laku agresif dan kami komited untuk memastikan premis kami kekal selamat untuk komuniti,” kata Zus lagi.