Keselamatan Kanak-Kanak Perlu Pendekatan Lebih Menyeluruh, Beri Tumpuan Kesihatan Mental 

Health & FitnessFamily & Parenting
6 Oct 2026 • 6:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Keselamatan Kanak-Kanak Perlu Pendekatan Lebih Menyeluruh, Beri Tumpuan Kesihatan Mental 

KUALA LUMPUR - Isu keselamatan kanak-kanak di sekolah perlu ditangani menerusi pendekatan lebih menyeluruh yang turut memberi tumpuan kepada kesihatan mental, buli, keganasan dan kesejahteraan murid. 

Presiden Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia, Datuk Seri Nazir Ariff, berkata, keselamatan kanak-kanak tidak seharusnya menumpukan kepada aspek fizikal semata-mata.

Menurut beliau, kerajaan perlu mengambil langkah bersepadu dengan merangka pelan tindakan nasional bagi memastikan aspek pendidikan, perlindungan dan kesejahteraan kanak-kanak diberi perhatian secara seimbang.

Katanya, kematian membabitkan kanak-kanak di sekolah baru-baru ini wajar menjadi titik tolak untuk menilai semula sejauh mana sistem sedia ada mampu melindungi murid serta menangani masalah yang boleh mendorong kepada keganasan.

“Persoalan yang lebih besar ialah sama ada kita hanya berdepan isu keselamatan atau sebenarnya berhadapan masalah masyarakat dan pendidikan yang lebih mendalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Nazir berkata, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), penambahan pengawal keselamatan dan pemantauan yang lebih ketat boleh membantu meningkatkan keselamatan di sekolah, namun langkah berkenaan tidak memadai sekiranya punca lain seperti masalah emosi, buli, tekanan rakan sebaya dan konflik dalam kalangan murid tidak ditangani.

Katanya, pendidikan juga perlu diperluaskan daripada sekadar mengejar pencapaian akademik dan keputusan peperiksaan kepada pembentukan kemahiran yang membantu kanak-kanak mengurus kehidupan serta hubungan sosial dengan lebih baik.

Antaranya jelas beliau, termasuk kebolehan berfikir secara kritis, memahami perasaan orang lain, mengurus konflik, membuat keputusan secara bertanggungjawab dan membezakan maklumat benar daripada palsu.

“Kanak-kanak perlu tahu bagaimana menyelesaikan perselisihan tanpa menggunakan kebencian atau keganasan, selain belajar menghormati individu yang berbeza daripada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Nazir berkata pengaruh kandungan digital terhadap tingkah laku kanak-kanak juga tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, pendedahan berulang kepada unsur keganasan melalui media sosial, platform dalam talian, filem, televisyen dan permainan tidak semestinya menjadikan seseorang kanak-kanak ganas, namun cara keganasan dipaparkan sebagai hiburan, balas dendam atau penyelesaian kepada konflik perlu diberi perhatian.

Aspek kesihatan mental, katanya, juga perlu diletakkan sebagai sebahagian daripada usaha mencegah masalah keselamatan di sekolah dan tidak hanya ditangani selepas berlaku sesuatu kejadian serius.

“Buli, rasa tersisih, masalah keluarga, tekanan rakan sebaya, penolakan serta ketidakupayaan mengawal kemarahan dan emosi boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sekolah mempunyai akses kepada kaunselor terlatih serta sistem rujukan yang jelas kepada pakar kesihatan mental sekiranya murid memerlukan bantuan lanjut.

Guru juga perlu dibekalkan latihan untuk mengenal pasti perubahan tingkah laku atau tanda awal tekanan emosi, buli dan pengasingan sosial dalam kalangan murid.

Menurut Nazir, mendapatkan bantuan kaunseling tidak sepatutnya menunggu sehingga sesuatu masalah menjadi krisis.

“Intervensi awal perlu dijadikan amalan biasa, bukannya langkah terakhir selepas sesuatu kejadian berlaku,” katanya.

Beliau pada masa sama mencadangkan satu penilaian bebas membabitkan pelbagai kepakaran bagi melihat semula keseluruhan sistem keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di sekolah.

Penilaian itu perlu merangkumi bukan sahaja kawalan fizikal, malah isu buli dan keganasan, kesihatan mental, keselamatan dalam talian, budaya sekolah, kaedah membuat laporan serta mekanisme intervensi awal.

Nazir turut mencadangkan satu prosedur nasional yang seragam diwujudkan bagi menguruskan kes membabitkan buli, ugutan dan keganasan.

Menurutnya, murid perlu mempunyai saluran yang mudah, selamat dan sulit untuk melaporkan sebarang kebimbangan, manakala setiap aduan perlu disusuli siasatan segera serta bantuan kepada mangsa.

Pada masa sama, kanak-kanak yang menunjukkan tingkah laku membahayakan juga perlu diberikan sokongan dan intervensi yang bersesuaian.

Beliau berkata kemahiran seperti literasi media, pemikiran kritis, empati, penyelesaian konflik serta pengurusan emosi wajar diterapkan dalam pembelajaran harian, tanpa menjadikannya sekadar kandungan tambahan untuk peperiksaan.

“Usaha melindungi kanak-kanak daripada risiko di alam siber pula, katanya, memerlukan kerjasama kerajaan, syarikat teknologi, sekolah, ibu bapa dan pertubuhan berkaitan perlindungan kanak-kanak.

“Antara perkara perlu diberi perhatian termasuk kawalan  bersesuaian dengan umur pengguna, saluran aduan yang lebih berkesan dan perlindungan daripada kandungan berbahaya,” katanya.

Nazir berkata hubungan antara sekolah dan ibu bapa juga perlu diperkukuh supaya perkembangan serta keadaan emosi murid dapat dipantau secara berterusan.

Sekolah, katanya, perlu mempunyai mekanisme untuk mengenal pasti murid yang berdepan penderaan, buli atau tekanan serius, termasuk mereka yang mungkin membahayakan diri sendiri atau orang lain.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendekatan berkenaan perlu berasaskan bantuan dan pemulihan, bukannya menyebabkan kanak-kanak dilabel atau dipulaukan.

Dalam menilai keberkesanan sistem pendidikan dan keselamatan sekolah, Nazir berkata kerajaan juga perlu melihat ukuran yang lebih luas daripada pencapaian akademik.

Ini termasuk tahap buli dan keganasan di sekolah, ketidakhadiran murid, akses kepada kaunseling, kesejahteraan pelajar serta sejauh mana kanak-kanak berasa selamat ketika berada di sekolah.

Beliau turut mencadangkan Laporan Keselamatan Kanak-kanak Kebangsaan diterbitkan setiap tahun, dengan data tanpa maklumat pengenalan berkaitan kes keganasan dan buli di sekolah, kesejahteraan kanak-kanak, akses kepada perkhidmatan kaunseling serta pelaksanaan langkah keselamatan.

“Kita memerlukan akauntabiliti, bukan sekadar janji,” katanya. - Getaran, 6 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved