
KUALA LUMPUR: Pengacara, Datuk Aznil Haji Nawawi, meminta penonton agar tidak terburu-buru menghakimi gaya pengacaraan Raja Azura yang dilihat kerap mencelah ketika bergandingan Kaenu Azman dalam program Kilauan Emas Selebriti minggu pertama.
Aznil Haji Nawawi yang mesra disapa Pak Nil, berkata, setiap pengacara senior mempunyai gaya tersendiri untuk beraksi dengan rakan gandingan di atas pentas dan tindakan penonton melemparkan andaian adalah sangat tidak adil.
“Harus diingat cara mengajar itu berbeza dan setiap guru ada cara tersendiri, Kak Engku ada cara dia. Tak adillah kalau kita yang tak tahu ini pula buat andaian sendiri.
“Percayalah, nanti satu hari bila pasangan duo ini menjadi, awak akan ingat balik apa yang dituduh pada episod pertama. Apa yang berlaku pada episod pertama itulah yang mereka jadikan motivasi,” katanya.
Aznil berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Majlis Perkenalkan Kumpulan K4lam dan Tayangan Muzik Video Musa di Aurum Theatre, The Gardens Mall, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Aznil menjelaskan bahawa keserasian di atas pentas tidak boleh dibina dalam masa sehari, lebih-lebih lagi untuk pentas besar yang sudah mempunyai penonton tegar.
“Kita perlukan kerjasama dan keserasian itu bukan boleh dibuat dalam masa satu hari. Bagi ruanglah untuk mereka mewarnakan pentas.
“Apabila keserasian atau kerjasama ini berjaya, bukankah kita dapat satu udara baharu dalam bidang pengacaraan. Bukankah ini yang kita mahukan.
“Kita tidak akan menjadi seorang yang bagus kalau tak ada kutukan atau komen-komen ini. Kalau orang itu terus murung, habislah dan kita dah bunuh ruang itu.
“Tetapi kalau mereka belajar sesuatu, ambil komen ini dan menjadi pengacara hebat satu hari nanti, mereka akan tengok balik episod pertama sebagai rujukan. Mereka akan tertanya macam inikah mereka dahulu,” katanya.
Terdahulu, gandingan Raja Azura dan Keanu Azman dalam rancangan Kilauan Emas Selebriti menjadi bualan hangat penonton yang mendakwa Raja Azura terlalu mendominasi pentas menerusi jeritan yang bingit dan aksi mencelah sehingga menenggelamkan Keanu. -UTUSAN
The post Keserasian tidak boleh dapat dalam satu hari, beri mereka peluang – Aznil appeared first on Utusan Malaysia.


