Kesiapsiagaan KPDN Menghadapi Monsun Timur Laut Tahun 2024/2025

LocalPolitics
5 Dec 2024 • 5:48 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

image is not available

Kesiapsiagaan KPDN Menghadapi Monsun Timur Laut Tahun 2024/2025

Dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula sejak bulan November 2024, peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah memastikan bekalan barangan keperluan harian rakyat yang mencukupi di pasaran.

Pendekatan utama yang diambil adalah melaksanakan pelan kontingensi dengan melantik DDR iaitu Peruncit Terpilih Daerah (Dedicated District Retailer) dan DDW iaitu Pemborong Terpilih Daerah (Dedicated District Wholesaler) bagi setiap daerah di seluruh negara. Peranan DDR dan DDW adalah menyediakan bekalan barangan keperluan harian yang mencukupi ke kawasan terlibat banjir.

image is not available

Setakat ini, terdapat 1,369 DDR dan 635 DDW di seluruh negara termasuk 160 DDR dan 74 DDW bagi negeri Terengganu. Sebaik pengumuman rasmi Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung permulaan tempoh Monsun Timur Laut (MTL), setiap DDR dan DDW akan dibenarkan untuk menyimpan bekalan stok tambahan sehingga kadar 30 peratus daripada had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC), KPDN akan membuat penyelarasan sekiranya terdapat sebarang aduan dan laporan gangguan sesuatu bekalan barangan keperluan harian.

image is not available

Selain pendekatan tersebut, KPDN juga memastikan kesiapsiagaan penghantaran bekalan barangan keperluan harian daripada luar kawasan dan negeri yang terlibat dengan banjir. Ini termasuk penghantaran bekalan bahan api diesel dan petrol dengan mengguna pakai mobile refueling service (ROVR) melalui kerjasama dengan Petronas. Pelan kontingensi ini diambil bagi mengelakkan gangguan bekalan barangan sekali gus mengekang berlaku peningkatan harga yang keterlaluan akibat bekalan yang berkurangan.

Pada masa yang sama, KPDN amat mengalu-alukan bantuan daripada pelbagai pihak seperti badan bukan Kerajaan (NGO) serta badan korporat dalam memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa yang terlibat banjir. KPDN menyeru dan menggalakkan supaya pihak pihak yang ingin menghulurkan bantuan supaya mendapatkan bekalan barangan keperluan dari kawasan dan negeri yang tidak terjejas banjir.

Ini bagi memastikan tidak berlaku gangguan bekalan di kawasan terkesan banjir untuk dibeli oleh penduduk tempatan yang terkesan dengan banjir dan digunakan oleh agensi-agensi yang membuat pembekalan makanan di pusat-pusat penempatan banjir.