Kesiapsiagaan negara depani ancaman serangan siber dipertingkat

LocalTechnology
8 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kesiapsiagaan negara depani ancaman serangan siber dipertingkat
Ancaman siber bukan lagi sekadar isu teknikal, ia juga berkait rapat dengan keselamatan ekonomi, kewangan dan kedaulatan negara. Foto hiasan

MALAYSIA kini berhadapan landskap ancaman keselamatan siber yang semakin kompleks apabila negara berpotensi menjadi sasaran serangan digital dari luar, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai tahap ketahanan infrastruktur kritikal negara.

Perkembangan terbaharu pada Sabtu menyaksikan perkongsian peta ancaman siber FortiGuard Labs di media sosial yang memaparkan beberapa lokasi di Malaysia termasuk Cyberjaya, Shah Alam dan Petaling Jaya sebagai antara destinasi aktiviti ancaman digital dari luar negara.

Bagaimanapun, paparan tersebut tidak semestinya membuktikan berlakunya pencerobohan sistem atau serangan yang berjaya.

Situasi itu lebih membimbangkan apabila Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada Rabu lalu menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Negara daripada rendah kepada sederhana sebagai langkah berjaga-jaga susulan perkembangan keselamatan semasa.

NACSA turut mengarahkan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) melaksanakan sembilan langkah kesiapsiagaan, termasuk pemantauan keselamatan 24 jam, kemas kini tampalan keselamatan sistem, pengesahan pelbagai faktor serta penyediaan pelan kesinambungan perkhidmatan.

Pada Sabtu pula, NACSA turut mengesahkan pihaknya mengetahui insiden keselamatan siber membabitkan beberapa institusi kewangan dan sedang memantau perkembangan bersama pihak berkaitan.

Agensi itu dalam masa sama menegaskan bahawa keadaan masih terkawal. 

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan pihaknya mempertingkatkan pemantauan serta penyelarasan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN), NACSA dan pemain industri komunikasi termasuk telekomunikasi, penyiaran serta perkhidmatan pos.

Tumpuan juga terarah kepada pengesanan ancaman, pemulihan insiden dan kesinambungan operasi perkhidmatan penting.

Hakikatnya, ancaman siber bukan lagi sekadar isu teknikal, ia juga berkait rapat dengan keselamatan ekonomi, kewangan dan kedaulatan negara.

Justeru, Malaysia memerlukan pendekatan pencegahan proaktif, audit keselamatan berkala serta kerjasama erat sektor awam dan swasta.

Kelemahan satu sistem boleh membuka ruang kepada gangguan yang lebih besar terhadap kehidupan rakyat.

Keselamatan siber tidak boleh hanya diperkukuhkan selepas serangan berlaku. Sebaliknya, negara perlu bersedia sebelum ancaman berjaya menembusi pertahanan digitalnya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved