SHAH ALAM - Kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai pengamal media bukan penghalang buat Norliza Mohd Salleh untuk terus menimba ilmu apabila meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik (Academic Excellence Award) pada Istiadat Konvokesyen Ke-29 City University Malaysia.
Norliza yang juga graduan program Master of Creative Industries and Communication (MCIC) menerima pengiktirafan itu atas pencapaian akademik cemerlang sepanjang mengikuti pengajian di peringkat sarjana.
Naib Canselor City University Malaysia, Prof Dr Rosnizah Shaari berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen terhadap kerjaya tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang terus meningkatkan ilmu pengetahuan dan mencapai kecemerlangan akademik.
Katanya, pengalaman profesional yang dimiliki seseorang graduan juga mampu menjadi kelebihan dalam memperkayakan proses pembelajaran.
"City University Malaysia amat berbangga dengan pencapaian graduan seperti Norliza yang menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus meningkatkan ilmu pengetahuan dan kompetensi diri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rosnizah berkata, sebagai seorang pengamal media yang berpengalaman dalam industri penyiaran, Norliza membuktikan bahawa kesibukan dalam dunia profesional bukan penghalang untuk terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkukuh pengetahuan dalam bidang komunikasi serta industri kreatif.
Ujarnya, perjalanan Norliza sebagai pelajar peringkat sarjana mencerminkan semangat pembelajaran sepanjang hayat, ketekunan dan keazaman untuk terus berkembang dalam bidang yang diceburi.
Katanya, kejayaan itu juga menjadi inspirasi kepada golongan profesional lain yang berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sambil meneruskan komitmen kerjaya masing-masing.
"Pencapaian Norliza turut mencerminkan aspirasi City University Malaysia dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, malah berupaya mengintegrasikan ilmu, pengalaman industri dan kemahiran profesional dalam menghadapi landskap industri kreatif dan komunikasi yang semakin dinamik.
"Seluruh warga City University Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Norliza atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kecemerlangan dalam perjalanan akademik dan profesional pada masa hadapan," katanya.






