Kesilapan Besar Malaysia: Berhenti Anjur Perlumbaan F1 Di Sepang

18 Aug 2025 • 11:45 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Tindakan menghentikan penganjuran Formula Satu (F1) di Malaysia, adalah satu kesilapan besar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.

Kos & Cabaran Dapatkan Slot F1

Menurut beliau, kita kini berdepan dengan kesukaran untuk membawa kembali perlumbaan tersebut ke Sepang kerana terdapat senarai menunggu yang panjang dan kos yang tinggi untuk mendapatkan slot dalam kalendar F1.

SIC pernah menerima anggaran yuran perlumbaan sebanyak USD70 juta (RM279 juta) bagi setiap edisi daripada pemilik F1, Liberty Media, belum termasuk kos persediaan yang mencecah RM10 hingga RM20 juta setiap acara. Oleh itu, keseluruhan kos membawa balik perlumbaan boleh mencecah lebih RM300 juta setahun, lapor New Straits Times.

image is not available

Selain SIC, pelbagai pihak termasuk kerajaan dan sektor korporat juga berminat membawa kembali perlumbaan F1 ke Malaysia. Beliau menekankan bahawa kejayaan penganjuran perlumbaan ini memerlukan kerjasama antara kementerian, sektor korporat dan pihak hotel, sama seperti model penganjuran F1 di Singapura.

Persiapan Perbaharui Kontrak MotoGP

Dalam masa sama, SIC sedang bersiap sedia berunding bagi pembaharuan kontrak penganjuran MotoGP bersama Dorna Sports. Azhan menegaskan mereka tidak mahu mengulangi kesilapan melepas F1 dengan melakukan perkara sama untuk acara MotoGP.

image is not available

SIC melaporkan bahawa pelaburan dalam MotoGP memberi pulangan sebanyak 6.3 kali ganda kepada Malaysia menurut kajian impak ekonomi tahun lalu. Namun, Azhan mengingatkan bahawa ia memerlukan masa untuk mendapatkan pulangan pelaburan yang optimum walaupun untuk acara popular seperti MotoGP.

Azhan juga menekankan bahawa penganjuran F1 dan MotoGP bukan sekadar acara SIC semata-mata, tetapi ia adalah acara kebangsaan yang melibatkan semua pihak berkepentingan. Kejayaan acara sebegini terletak pada kerjasama erat semua institusi yang terbabit.

Malaysia akan terus menganjurkan MotoGP di Sepang dan kali ini, SIC menyasarkan lebih 200,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan pada 24 hingga 26 Oktober depan.