Kesilapan Teknikal, Pelanggan AEON Bank Jadi ‘Billionaire’ Sekelip Mata

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 2:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kesilapan Teknikal, Pelanggan AEON Bank Jadi ‘Billionaire’ Sekelip Mata

KUALA LUMPUR - Seorang pelanggan AEON Bank tidak menyangka akaunnya tiba-tiba mencatatkan baki tambahan lebih RM1 bilion, sebelum mengetahui kejadian berkenaan berlaku akibat kesilapan transaksi pihak bank.

Kejadian tersebut dikongsikan Wan Mohd Fairuz menerusi akaun Threads miliknya, @wmfmza, selepas beliau mendapati wang berjumlah RM1,000,315,879 masuk ke akaunnya kira-kira jam 10.36 pagi, 14 Oktober lalu.

Menurut Fairuz, beliau tidak melakukan sebarang pembelian atau menyertai kempen promosi yang membolehkannya menerima ganjaran dalam jumlah sedemikian.

Tangkap layar yang dimuat naik  menunjukkan transaksi itu direkodkan sebagai pelarasan bank (Bank adjustment), dengan keterangan ganjaran tunai bagi kempen Merdeka dan Hari Malaysia 2026, kitaran keenam.

Menyedari transaksi mencurigakan itu ketika menyemak aplikasi perbankannya kira-kira jam 11 pagi, Fairuz segera menghubungi pihak bank untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial, dengan ramai mengambil kesempatan untuk berseloroh mengenai statusnya yang bertukar menjadi billionaire dalam tempoh singkat.

Ada yang bergurau meminta pinjaman, manakala pengguna lain membuat pelbagai spekulasi mengenai punca wang berkenaan masuk ke akaunnya.

Akaun rasmi AEON Retail Malaysia turut mencuri perhatian apabila menyertai perbualan di ruangan komen, yang dibanjiri komen lucu daripada pengguna.

Sebahagian pengguna pula menjadikan insiden itu sebagai bahan jenaka, termasuk menyifatkan penyata bank berkenaan sebagai bukti untuk ditunjukkan kepada mereka yang pernah memandang rendah terhadap kemampuan kewangan seseorang.

Bagaimanapun, wang berkenaan tidak kekal lama dalam akaun Fairuz apabila beliau menerusi hantaran susulan mengesahkan, pihak bank sudah menyelesaikan isu tersebut dan mengambil kembali jumlah terbabit.

Lebih menarik, Fairuz berkata pihak bank turut menawarkan ganjaran kepadanya kerana bertindak melaporkan kesilapan tersebut.

Namun, beliau masih belum mengetahui bentuk atau nilai ganjaran berkenaan dan sedang menunggu e-mel daripada pihak bank untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Faizal turut berharap penghargaan yang ditawarkan itu setimpal dengan tindakannya memaklumkan kesilapan terbabit.

Setakat ini, tiada penjelasan rasmi AEON Bank mengenai insiden tersebut. - Getaran, 15 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved