KESUMA lancar pusat sehenti tenaga kerja dan pejabat HRD Corp di Sabah

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2025 • 5:41 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KESUMA lancar pusat sehenti tenaga kerja dan pejabat HRD Corp di Sabah

image is not available

04/08/2025 - 17:41

Pembukaan pusat sehenti tenaga kerja dan pejabat HRD Corp di Sabah menyediakan perkhidmatan berkaitan pekerjaan, latihan dan keselamatan sosial di bawah satu bumbung Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) terus memperkukuh ekosistem tenaga kerja di Malaysia Timur menerusi pelancaran Pusat Sehenti Tenaga Kerja dan Pejabat HRD Corp Sabah di Sutera Avenue, Kota Kinabalu, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kewujudan dua kemudahan itu adalah langkah strategik Kerajaan dalam menyatukan semua perkhidmatan berkaitan pekerjaan, latihan dan keselamatan sosial di bawah satu bumbung, selari dengan pendekatan ‘no wrong door policy’.

“Pusat ini menghimpunkan 12 jabatan dan agensi utama seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Mahkamah Perusahaan, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan HRD Corp Sabah.

“Ini bukan sahaja menjimatkan masa urusan pekerja dan majikan, malah memperkemaskan lagi khidmat berkaitan padanan kerja, keselamatan pekerjaan, latihan kemahiran dan penyelesaian pertikaian buruh,” katanya di majlis perasmian itu, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof, serta ahli-ahli lembaga pengarah HRD Corp.

Sabah adalah negeri keempat yang memiliki pusat sehenti selepas Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor sejak Jun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pusat sehenti itu adalah sebahagian usaha transformasi menyeluruh KESUMA untuk menyatupadukan sistem tenaga kerja dan membawa perkhidmatan kepada rakyat secara lebih dekat, bermula dengan Sabah sebagai negeri pertama di Malaysia Timur.

“Perkhidmatan bersepadu ini akan menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan Malaysia MADANI, serta meningkatkan kebolehcapaian rakyat kepada peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran, khususnya golongan rentan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr. Syed Alwi Mohamed Sultan berkata, pejabat baharu HRD Corp Sabah akan menjadi pusat sokongan latihan dan peningkatan kemahiran untuk komuniti setempat, dengan kemudahan latihan dan dewan seminar yang menyokong pembangunan bakat tempatan. - DagangNews.com

standard