Ketahui King Tide, Fenomena Air Pasang Paling Tinggi Semula Jadi

30 Jan 2025 • 12:14 AM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Fenomena yang berpotensi mengancam kehidupan jika tidak terkawal

Ketahui King Tide, Fenomena Air Pasang Paling Tinggi Semula Jadi. Setiap tahun, penduduk pesisir pantai terutamanya di Sarawak akan berdepan dengan fenomena king tide, atau dikenali sebagai air pasang besar. Fenomena ini sering dikaitkan dengan banjir kilat dan kesan buruk terhadap infrastruktur serta kehidupan harian.

Namun, apakah sebenarnya king tide, mengapa ia berlaku, dan bagaimana penduduk boleh bersedia menghadapi impaknya?

image is not available
Ketahui King Tide, Fenomena Air Pasang Paling Tinggi Semula Jadi. Kredit foto: ZULAZHAR SHEBLEE via The Star

Apa itu King Tide

King tide merujuk kepada keadaan air pasang paling tinggi yang berlaku secara semula jadi akibat tarikan graviti bulan dan matahari terhadap bumi. Fenomena ini biasanya berlaku ketika fasa bulan penuh atau bulan baru, di mana daya tarikan graviti lebih kuat daripada biasa.

Di Sarawak, king tide lazimnya terjadi antara November hingga Mac, bertepatan dengan musim Monsun Timur Laut yang membawa hujan lebat berterusan.

image is not available
Jadual ramalan air pasang paling besar (king tide) di Sarawak untuk bulan Januari. Selebihnya boleh dirujuk di did.sarawak.gov.my

Kesan King Tide

1. Banjir dan Air Pasang di Kawasan Rendah

Apabila king tide berlaku serentak dengan hujan lebat yang berterusan, air pasang boleh melimpah ke daratan dan menyebabkan banjir kilat. Ini sering terjadi di bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Sibu, Mukah, dan Bintulu.

Contoh terkini menunjukkan betapa seriusnya fenomena ini apabila Serian dan Bintulu turut dilanda banjir luar biasa, dengan jalan-jalan utama ditenggelami air, menyukarkan pergerakan penduduk.

image is not available

2. Hakisan Pantai dan Kerosakan Infrastruktur

Arus pasang surut yang kuat akibat king tide juga boleh mengakibatkan hakisan pantai, yang mengancam rumah-rumah di tepi laut. Selain itu, infrastruktur seperti jalan raya dan sistem perparitan juga boleh mengalami kerosakan jika air pasang tidak dapat disalirkan dengan baik. Kejadian ini yang ditambah dengan hujan lebat yang tidak berhenti, boleh menyebabkan bencana alam yang lebih serius dan merbahaya seperti tanah runtuh.

Contoh terkini adalah tanah runtuh yang berlaku di Kampung Lereng Bukit di Miri yang telah mengorbankan lima nyawa termasuk kanak-kanak dan warga emas.

image is not available
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Lereng Bukit, Miri.

3. Kesan kepada Komuniti Nelayan

Nelayan merupakan golongan yang paling terkesan dengan fenomena king tide. Arus yang lebih kuat dan paras air yang tinggi boleh menyukarkan aktiviti menangkap ikan serta meningkatkan risiko kemalangan di laut. Selain itu, air pasang tinggi boleh menyebabkan air masin memasuki sungai dan kawasan pertanian, merosakkan tanaman serta sumber air bersih.

image is not available
Sumber foto: Suara Sarawak

Impak King Tide di Sarawak

King tide boleh membawa pelbagai kesan kepada masyarakat, terutamanya kepada mereka yang tinggal di kawasan rendah dan berhampiran pantai. Dalam beberapa hari kebelakangan ini, hujan lebat tanpa henti yang berlaku serentak dengan fenomena king tide telah menyebabkan kesan yang lebih buruk daripada biasa; banjir besar di pelbagai daerah di Sarawak, termasuk Bintulu, Serian, Samarahan, Kuching, Miri, dan Sibu.

Ratusan penduduk telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), dan infrastruktur di beberapa kawasan mengalami kerosakan akibat limpahan air pasang. Contohnya, di Bintulu, lebih 193 mangsa daripada 53 keluarga telah dipindahkan ke PPS Pusat Sukan BDA Kidurong selepas rumah mereka ditenggelami air.

Di Serian, pembukaan empat PPS baharu menampung peningkatan jumlah mangsa banjir akibat hujan berterusan dan paras air yang meningkat secara mendadak.

Bagaimana Penduduk Boleh Bersedia

Memandangkan king tide merupakan fenomena yang tidak dapat dielakkan, persediaan awal amat penting bagi mengurangkan impaknya. Beberapa langkah yang boleh diambil termasuk:

image is not available
Tangkap layar laman sesawang pantauan paras air dan hujan real time di Sarawak menerusi ihydro.sarawak.gov.my

  • Meninggikan atau mengukuhkan struktur rumah bagi mengelakkan kerosakan akibat banjir dan hakisan pantai.
  • Menyimpan stok makanan dan keperluan asas sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku banjir. Simpan dokumen penting seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, dan passport di tempat yang selamat dan mudah dibawa.
  • Mendapatkan perlindungan insurans banjir bagi melindungi harta benda daripada kerosakan yang tidak dijangka.
  • Mengikuti arahan pihak berkuasa jika terdapat amaran pemindahan ke pusat perlindungan sementara.

King tide bukanlah fenomena luar biasa bagi penduduk Sarawak, tetapi dengan perubahan iklim dan peningkatan paras laut, kesannya semakin dirasai saban tahun. Kesedaran dan persiapan awal amat penting untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk yang terjejas.

Dengan kejadian banjir besar yang sedang berlaku di Sarawak, masyarakat perlu lebih berwaspada dan bersedia menghadapi cabaran ini. Kerjasama antara kerajaan, NGO, dan masyarakat setempat adalah kunci dalam mengurangkan risiko dan memastikan kehidupan seharian tidak terganggu oleh fenomena alam yang tidak dapat dielakkan ini.

Ini pula senarai lokaliti di Sarawak yang dilanda banjir mengikut kemaskini semasa