Ketahui Siapa Bakal Jadi Pemilik Baharu TikTok Jika Trump & Xi Sepakat

WorldPolitics
18 Sep 2025 • 6:38 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Ketahui Siapa Bakal Jadi Pemilik Baharu TikTok Jika Trump & Xi Sepakat

Amerika Syarikat (AS) dan China dilaporkan hampir mencapai persetujuan untuk memastikan TikTok kekal beroperasi di pasaran Amerika, selepas berbulan-bulan rundingan penuh tegang.

Menurut CNN, perjanjian ini bakal melibatkan pengambilalihan sebahagian besar pegangan aplikasi popular itu oleh pelabur dari AS.

Siapa bakal jadi pemilik baharu TikTok?

Cadangan yang dibincangkan menyatakan bahawa beberapa firma modal teroka, dana ekuiti swasta dan syarikat teknologi Amerika akan bergabung. Gabungan ini akan menubuhkan sebuah konsortium baharu.

Konsortium ini akan memiliki kira-kira 80 peratus pegangan dalam TikTok, manakala pemegang saham dari China hanya akan mengekalkan kurang daripada 20 peratus.

Antara pelabur utama yang disebut termasuk Oracle, Andreessen Horowitz dan Silver Lake.

Konsortium ini juga dijangka dikendalikan oleh lembaga pengarah majoriti warga Amerika, termasuk seorang wakil yang dilantik oleh pentadbiran Donald Trump, lapor CNN.

Rundingan AS–China di Madrid

Kerangka awal perjanjian ini dibincangkan di Madrid, melibatkan perunding dari Washington dan Beijing.

Rundingan ini pada dasarnya menyerupai cadangan yang pernah dibentangkan kepada Trump pada April lalu. Namun, hubungan kedua-dua negara kembali tegang selepas Amerika mengenakan tarif baharu terhadap China.

Bagaimanapun, pegawai White House menegaskan bahawa butiran penuh masih belum dimuktamadkan dan hanya akan menjadi rasmi selepas diumumkan oleh pentadbiran.

Peranan Oracle dan Larry Ellison

Larry Ellison, Pengerusi Eksekutif Oracle yang juga dikenali sebagai penyokong Trump, dikatakan memainkan peranan penting dalam usaha ini.

Oracle sudah mempunyai hubungan dengan TikTok sejak 2020 apabila ia menjadi hos kepada data pengguna aplikasi itu di AS.

Trump sendiri pernah menyatakan sokongan agar Ellison membeli aset TikTok di Amerika, dan kini peluang itu muncul kembali melalui konsortium pelaburan baharu ini.

Isu keselamatan & had pemilikan

Sebelum ini, Trump pernah mencadangkan kerjasama 50-50 antara ByteDance (syarikat induk TikTok dari China) dan pelabur Amerika.

Namun, undang-undang yang ditandatangani pada era Presiden Joe Biden tidak membenarkan China memiliki lebih daripada 20 peratus kepentingan dalam operasi TikTok di Amerika.

Hal ini dilakukan bagi mengurangkan kebimbangan keselamatan negara, khususnya berkaitan data pengguna.

Sementara menunggu persetujuan dimuktamadkan, Trump pada Selasa menandatangani satu perintah eksekutif untuk melanjutkan tarikh kuat kuasa larangan TikTok di Amerika selama tiga bulan lagi.

Langkah ini penting dipercayai untuk mengelakkan aplikasi itu disekat serta-merta sementara rundingan masih berjalan, tambah CNN.

Bila persetujuan dijangka dimuktamadkan?

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, mendedahkan bahawa persetujuan muktamad antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping, dijangka dicapai dalam panggilan telefon pada Jumaat ini.

Katanya, kemajuan rundingan ini hanya berlaku selepas Trump memberi amaran bahawa beliau bersedia menutup terus TikTok di Amerika jika China tidak berkompromi.

Menurut Bessent, isu keselamatan negara tetap menjadi keutamaan, dan perjanjian baharu ini tidak akan mengorbankan kepentingan tersebut.

Kedua-dua pihak akhirnya bersetuju dengan beberapa syarat, dan butiran rasmi dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Selain faktor ekonomi dan keselamatan, pegawai Amerika turut mendedahkan bahawa persetujuan mengenai TikTok juga menjadi syarat penting sebelum mesyuarat peringkat tinggi antara Trump dan Xi dapat diatur.

Mesyuarat itu berkemungkinan berlangsung seawal bulan depan.

Sumber: CNN