hamden04/06/2026 - 09:45 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Jun - Ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah serta cadangan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) dijangka terus mengekalkan tahap ketidaktentuan pasaran global pada paras tinggi, sekali gus menyebabkan pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap aset berisiko, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun rundingan antara Iran dan AS masih diteruskan, perkembangan terkini menunjukkan pasaran masih berada dalam senario "Tension Case" berikutan risiko gangguan bekalan tenaga dan ketidakpastian dasar perdagangan yang belum menemui penyelesaian muktamad.
Menurutnya, peningkatan semula ketegangan susulan serangan misil terbaharu Iran, selepas kedua-dua pihak sebelum ini memberi isyarat kemajuan dalam rundingan membuktikan proses ke arah keamanan masih rapuh dan terdedah kepada sebarang insiden yang boleh mencetuskan konflik baharu.
"Pasaran masih belum mempunyai laluan yang jelas ke arah normalisasi aliran perdagangan, perkapalan dan bekalan tenaga global, khususnya melibatkan Selat Hormuz yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dunia.
"Selagi perjanjian rasmi antara Iran dan AS belum dimeterai serta laluan perkapalan di Selat Hormuz belum kembali beroperasi secara stabil, premium risiko geopolitik dijangka terus mempengaruhi sentimen pasaran," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu berkata, bagi membolehkan pasaran beralih kepada senario yang lebih positif atau "De-escalation Case", sekurang-kurangnya tiga perkembangan penting perlu berlaku iaitu pemeteraian rasmi perjanjian Iran-AS, pemulihan berterusan pergerakan kapal dagang melalui Selat Hormuz dan pelonggaran ketara terhadap cadangan tarif AS selepas proses konsultasi.
Dalam pada itu, ketegangan geopolitik yang meningkat turut memberi kesan kepada aliran dana asing di pasaran serantau apabila kebanyakan pasaran Asia mencatatkan jualan bersih oleh pelabur luar sejak pertengahan Mei lalu.
Aliran Dana Asing
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu menegaskan bahawa tidak semua aliran keluar dana boleh dikaitkan secara langsung dengan konflik Timur Tengah kerana terdapat faktor teknikal lain seperti pengimbangan semula indeks MSCI yang turut mempengaruhi pergerakan dana institusi global.
Pada 29 Mei 2026, Malaysia merekodkan jualan bersih asing sebanyak AS$411.2 juta, manakala Korea Selatan mencatatkan aliran keluar terbesar sebanyak AS$685.1 juta diikuti Indonesia (AS$478.5 juta), Filipina (AS$108.1 juta), Thailand (AS$48.6 juta) dan Vietnam (AS$26.7 juta).
Walaupun sentimen pasaran kekal mencabar, asas korporat syarikat tersenarai di Malaysia masih menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.
Berdasarkan keputusan kewangan suku pertama tahun kalendar 2026 (1QCY26), keuntungan ternormal agregat syarikat tersenarai berkembang 10.5% tahun ke tahun dan 2.1% suku ke suku, disokong prestasi kukuh sektor pengguna, perindustrian, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan.
Pertumbuhan tersebut didorong oleh peningkatan keuntungan syarikat seperti Sime Darby, Petronas Chemicals, Press Metal, Axiata dan IHH Healthcare, walaupun sebahagiannya diimbangi oleh penyusutan keuntungan dalam sektor perbankan termasuk Hong Leong Bank dan Maybank.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan strategi pelaburan "barbell" dengan memberi tumpuan kepada saham defensif yang mempunyai pendedahan tinggi kepada permintaan domestik dan perkhidmatan penting.
Katanya, sektor utiliti, telekomunikasi, barangan pengguna asas dan syarikat berkaitan perbelanjaan domestik dijangka lebih berdaya tahan sekiranya harga minyak kekal tinggi dan ketidaktentuan perdagangan global berlanjutan.
Pada masa sama, sebarang perkembangan positif berkaitan pembukaan semula Selat Hormuz atau pelonggaran tarif AS berpotensi mencetuskan pemulihan harga saham dalam sektor kitaran, pengeksport dan syarikat berkaitan pengangkutan yang sebelum ini terjejas akibat risiko sentimen.
Bagi suku kedua 2026, firma itu mengekalkan saranan BELI ke atas beberapa saham pilihan utama termasuk YTL Power International Berhad dengan harga sasaran RM5.65, Ranhill Utilities Berhad (RM2.56), Tenaga Nasional Berhad (RM16.40), QL Resources Berhad (RM4.11), AMMB Holdings Berhad (RM7.63), Leong Hup International Berhad (RM1.07), MR D.I.Y. Group (M) Berhad (RM2.13), 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (RM4.37) dan Pavilion Real Estate Investment Trust (RM2.00). - DagangNews.com






