amree03/06/2026 - 10:30 SUASANA 'perang bendera' parti-parti politik ketika Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. - Foto Bernama Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun — Spekulasi mengenai kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal tidak semestinya menjadi pemangkin utama kenaikan dagangan di pasaran saham tempatan.
Sebaliknya menurut MBSB Research, risiko geopolitik global khususnya konflik yang terus berlarutan di rantau Timur Tengah dilihat lebih memberi pengaruh besar terhadap hala tuju Bursa Malaysia.
Analisis firma itu ke atas prestasi pasaran sejak Pilihan Raya Umum Kelima (PRU5) pada 1978 hingga PRU15 pada 2022 menunjukkan indeks penanda aras FBM KLCI sentiasa mencatatkan prestasi positif.
"Bagaimanapun tiada bukti kukuh menunjukkan pilihan raya menjadi faktor kenaikan pasaran kerana prestasi tersebut turut dipengaruhi pelbagai faktor lain termasuk pertumbuhan ekonomi," jelasnya.
Tambah MBSB Research, FBM KLCI kelazimannya sering mencapai paras tertinggi tahunan ketika tahun pilihan raya umum, namun keadaan sama berlaku dalam tahun-tahun yang tiada diadakan pilihan raya.
Data sejarah menunjukkan prestasi indeks itu menjelang hari pengundian adalah bercampur-campur, dan mencabar tanggapan spekulasi pilihan raya sentiasa memberi rangsangan kepada pasaran ekuiti.
Sentimen Pelabur
Jelas firma berkenaan dalam analisisnya, sentimen pelabur di Bursa Malaysia sebenarnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain yang lebih luas berbanding perkembangan politik domestik semata-mata.
"Parlimen perlu dibubarkan paling lewat pada akhir Disember 2027 bagi membuka laluan kepada PRU16, namun ada yang menyatakan kemungkinan pilihan raya umum diadakan lebih awal," kata MBSB Research.
Justeru, ia berpandangan faktor luaran akan terus menjadi pemacu utama pasaran saham Malaysia, dengan konflik Timur Tengah kekal sebagai risiko terbesar kerana potensi terhadap ekonomi dunia.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun keadaan pada ketika ini menunjukkan tanda-tanda konflik semakin reda, gangguan terhadap sektor perkapalan dan pasaran tenaga global masih berterusan.
Sehubungan itu, pelabur disaran mengambil pendekatan defensif dengan memberi tumpuan kepada sektor yang menawarkan hasil stabil serta dividen menarik bagi mengurangkan impak ketidaktentuan pasaran.
MBSB Research turut mengekalkan sasaran indeks FBM KLCI pada paras 1,800 mata bagi 2026, selain unjuran 13,100 mata untuk FBM Emas Syariah dan 18,900 mata bagi FBM 70. - DagangNews.com



