Ketersambungan Internet Di Pahang Meningkat Ke 94.3 Peratus Pada Suku Kedua Tahun Ini

TechnologyDigital
6 Sep 2023 • 4:04 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tatkala Malaysia kini sedang giat membangunkan rangkaian 5G ke seluruh negara, ia masih lagi adalah sebuah teknologi rangkaian yang dimanfaatkan di lokasi-lokasi tertentu sahaja, dengan rangkaian 4G dan jalur lebar masih lagi menjadi asas kepada ketersambungan rakyat ke rangkaian internet.

Di Pahang, Exco Komunikasi dan Multimedia Fadzli Mohammad Kamal menjawab soalan daripada ADUN Sabai mengenai usaha Kerajaan Negeri Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam menambahbaik capaian dan perkhidmatan internet di negeri tersebut.

Beliau berkata bahawa usaha meningkatkan capaian di negeri tersebut sedang berjalan, dan pihak kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui empat program utama.

Pertama ialah pembangunan 270 pencawang 4G baharu yang sedang dibangunkan di seluruh negeri. 79 menara sudahpun siap dipasang, dan 191 buah lagi sedang dalam pelaksanaan dan dijangka akan siap pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, 902 pencawang rangkaian 3G sedia ada juga telah dinaiktarafkan untuk menyokong rangkaian 4G, dan projek ini sudahpun siap dilaksanakan, meluaskan lagi capaian rangkaian sambungan internet tersebut untuk rakyat negeri Pahang.

Untuk sambungan jalur lebar, pihak kerajaan sudahpun menyambungkan 120,759 premis kepada rangkaian internet gentian optik, yang mana sejumlah rakyat dan perniagaan di negeri Pahang boleh melanggan kepada perkhidmatan internet Unifi dan sebagainya. Ia dijangka bahawa 30 ribu lagi premis akan disambungkan ke rangkaian internet jalur lebar menjelang penghujung tahun ini.

image is not available

Salah satu fokus program JENDELA juga ialah menambahkan sambungan rangkaian internet ke kampung-kampung orang asli (KOA) di seluruh Malaysia, dan Pahang merupakan salah satu negeri dengan konsentrasi penduduk KOA yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.

Setakat ini, ia dilaporkan bahawa kesemua 69 KOA di seluruh negeri Pahang kini hadir dengan sambungan internet percuma menggunakan perkhidmatan internet satelit.

Menurut SKMM juga, kadar liputan rangkaian 4G di negeri Pahang telah meningkat daripada 89.1 peratus pada suku kedua 2020 sebelum projek JENDELA dilaksanakan, kepada 94.31 peratus pada suku kedua tahun ini. Ia dijangka bahawa peratusan tersebut akan meningkat lagi apabila fasa pertama JENDELA siap kelak.